AFP

Barcelona: Barcelona menunggu untuk melihat tahap kecederaan lutut pemain tengah Rafinha (gambar) sebelum memulakan rawatan pemulihan, menurut kelab Sepanyol itu kelmarin.

Pemain Brazil itu terpaksa digantikan selepas hanya 17 minit ketika Barca menang 4-1 di Granada Sabtu lalu apabila koyak sedikit meniscus dalaman di lutut kanannya.

“Bagaimana perkembangannya dalam 48 jam akan datang akan menentukan bentuk rawatan,” menurut Barcelona dalam satu kenyataan.

Bos Barca Luis Enrique amat berharap pemain Amerika Selatan itu tidak terlepas aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Juventus.

“Ia tidak dilihat terlalu serius, tapi dia tetap akan terlepas aksi bagi beberapa minggu akan datang,” ujar Enrique. “Ketiadaannya pasti amat dirasai.”

Rafinha menjadi tonggak utama skuad Enrique yang beralih ke formasi 3-4-3 selepas tewas 0-4 di tangan Paris Saint-Germain pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 8:10 AM