Fardy Bungga dan Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Jenazah Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail dimandi dan disembahyangkan di Masjid Bukit Aman sebelum dibawa ke Bachok, Kelantan untuk pengebumian jam 7 malam tadi.

Jenazah Allahyarham dibawa menggunakan van jenazah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diiringi pasukan polis trafik bersama ahli keluarga.

Isteri beliau, Datin Che Nat Hassan, 59, berkata, jenazah dibawa terus ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Badak untuk dikebumikan.

Katanya, beliau terharu dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam pengurusan jenazah suaminya termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut hadir di Masjid Bukit Aman.

"Terima kasih kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), pasukan polis, rakan dan saudara mara yang membantu urusan pengebumian jenazah Allahyarham," katanya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) jam 3.45 petang tadi.

Beliau yang berusia 59 tahun dimasukkan ke IJN sejak Jumaat lalu akibat serangan jantung dan menghembuskan nafas di sisi isteri serta keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 8:19 PM
Ahmad Zahid (enam kiri) menunaikan solat jenazah di Masjid Bukit Aman. FOTO Hafiz Sohaimi
Ahmad Zahid (enam kiri) menunaikan solat jenazah di Masjid Bukit Aman. FOTO Hafiz Sohaimi