SUASANA mewah untuk kepuasan pelanggan.
SUASANA mewah untuk kepuasan pelanggan.
RUANG bilik rawatan yang selesa.
RUANG bilik rawatan yang selesa.
KAWASAN selesa untuk rawatan kuku.
KAWASAN selesa untuk rawatan kuku.
 BERBINCANG untuk bahagikan tugas.
BERBINCANG untuk bahagikan tugas.
DIANA (duduk) bersama kakitangan D&D Beauty House.
DIANA (duduk) bersama kakitangan D&D Beauty House.
Intan Mas Ayu Shahimi


Duduk bersahaja di ruang menunggu pusat kecantikan ini umpama bersantai di ruang lobi hotel lima bintang. Dekorasi mewah, bauan segar aromaterapi dan alunan muzik mengasyikkan membuatkan sesiapa saja terleka.

Jauh berbeza suasana dengan tingkat bawah Sunway Putra Mall yang hingar dengan bunyi bising dan hiruk-pikuk pengunjung sepanjang hari. Kedudukan D&D Beauty House di tingkat lima ini cukup tenang dan terasing

Layanan mesra kakitangan pusat kecantikan juga dalam kelas yang tersendiri. Jarang sekali imej seumpama ini dapat dilihat, apalagi ketenangannya dirasai di premis yang terletak dalam pusat membeli-belah.

Menawarkan pakej rawatan lengkap bermula dari rambut hingga ke hujung kaki, pusat kecantikan ini wajar kekal dalam senarai aktiviti bulanan, khususnya bagi wanita yang gemarkan layanan eksklusif.

Menurut pemilik D & D Beauty House Datin Diana Ibrahim, pelbagai rawatan menarik disediakan khusus untuk wanita yang mahu cantik, mementingkan layanan selesa serta jaminan bahan berunsurkan organik.

“Kami bukan setakat menyediakan dekorasi menarik, tetapi turut mempunyai kelengkapan rawatan wajah dan tubuh yang canggih, khidmat juruterapi berkualiti serta ruang privasi.

“Jika pelanggan datang berdua bersama suami, ibu, kakak atau teman baik, mereka boleh menjalani rawatan di bilik khas untuk pasangan. Begitu juga bagi Muslimah yang mahukan khidmat dandanan tertutup, kita menyediakan bilik khas untuk menjaga privasi mereka,” katanya.

Jelas Diana, kebanyakan pelanggan datang untuk mendapatkan rawatan wajah, kuku tangan dan kaki, urutan, dandanan diri serta mandian herba.

Mempunyai lima bilik rawatan dengan suasana tenang, nyaman dan selesa, pusat kecantikan ini turut dilengkapi sauna serta jakuzi. Pencahayaan suram dengan lilin aromaterapi pasti membuai perasaan, sekali gus menerbangkan segala tekanan.

“Terdapat dua jenis urutan badan iaitu tradisional Melayu atau aromaterapi. Bagaimanapun, kebanyakan yang datang lebih sukakan urutan tradisional Melayu kerana boleh menghilangkan penat dan tekanan.

“Bagi rawatan wajah, kita menggunakan mesin frekuensi radio. Ia adalah rawatan khusus untuk menegangkan kulit wajah, menaikkan seri dan bentuk muka. Semua rawatan ini dijalankan oleh saya sendiri atau juruterapi bertauliah yang bukan saja terlatih tetapi cukup berpengalaman. Sementara produk yang digunakan adalah yang terbaik dan berkualiti,” katanya.

Lumrah dalam bidang kecantikan, Diana mengakui dia terpaksa kental untuk terus bertapak dalam industri dengan memberikan khidmat yang terbaik.

“Bukan mudah memuaskan hati pelanggan dan saya paling takut apabila pelanggan tidak berpuas hati dengan khidmat kami di sini. Bagaimana dengan pengalaman 15 tahun dalam bidang ini, sedikit sebanyak membantu kami memberikan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 12:59 PM