Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Dua pegawai Jabatan Imigresen Selangor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi tadi atas tujuh pertuduhan bersama iaitu pecah amanah berjumlah RM1,400 antara 28 Jun hingga 1 Julai 2016.

Mengikut pertuduhan pertama Suhana Samad, 35, dan Zalita Haron, 39, secara bersama-sama pada 28 Jun 2016 di Bahagian Pasport, Jabatan Imigresen Selangor, tingkat 2, Kompleks PKNS, Shah Alam melakukan pecah amanah terhadap wang RM200 iaitu wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa oleh Muhaida Mohamed Zan.

Dalam pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang RM200 iaitu wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa oleh Ooi Shih Xing pada tarikh dan tempat sama.

Dalam pertuduhan ketiga, keempat dan kelima kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang RM200 iaitu wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa oleh MT Yamona; Sun Tzu Hsiang dan Mimi Amalina Abdullah pada 29 Jun 2016 di lokasi sama.

Dalam pertuduhan keenam, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang RM200 iaitu wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa oleh Azrulhazizi Azwarman pada 30 Jun 2016 di lokasi sama.

Dalam pertuduhan ketujuh, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang RM200 iaitu wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa oleh Muhammad Fahmii Abu Bakar pada 1 Julai 2016 di lokasi sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca

bersama Seksyen 34 KK (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut akta sama.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda dan sebat.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Slamat Yahya selepas pertuduhan bersama dibacakan jurubahasa mahkamah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Heikal Ismail manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela CR Selva.

Kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM15,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 4:06 PM