SENAPANG buatan sendiri yang dirampas. FOTO Ainul Durmahyanty Durming
SENAPANG buatan sendiri yang dirampas. FOTO Ainul Durmahyanty Durming
Ainul Durmahyanty Durming


Kunak: Polis menahan dua lelaki warga Indonesia dan merampas empat senapang buatan sendiri beserta peluru dalam serbuan di rumah kongsi dekat sini, 12.30 tengah malam tadi.

Dalam serbuan oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, dua motosikal disyaki dicuri turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, bertindak atas maklumat, beliau bersama sepasukan polis membuat serbuan di rumah kongsi pekerja ladang berkenaan.

"Hasil serbuan itu menahan dua lelaki dan pemeriksaan menemui dua laras senapang jenis bakakuk dan dua lagi senapang guli.

"Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas tiga butir peluru dan 31 guli serta dua motosikal disyaki dicuri," katanya di sini, hari ini.

Nasaruddin berkata, pemeriksaan mendapati dua suspek berusia 24 dan 28 tahun tidak memilik dokumen pengenalan diri.

"Tangkapan dan semua rampasan dibawa ke IPD Kunak untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 9:17 AM