HAMILTON raih petak pertama ke-62 sepanjang kariernya.
HAMILTON raih petak pertama ke-62 sepanjang kariernya.
AFP

Melbourne: Juara dunia tiga kali Lewis Hamilton akan bermula di petak utama pada perlumbaan pembuka tirai musim Grand Prix Australia selepas memenangi sesi kelayakan, semalam.

Hamilton dalam jentera Mercedes mencatat rekod litar satu minit 22.188 saat untuk meraih petak utama ke-62 sepanjang kariernya dan keenam di Australia menjelang perlumbaan akhir di Melbourne, hari ini.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel di tangga kedua manakala rakan sepasukan Hamilton di Mercedes, Valtteri Bottas ketiga.

Hamilton mengungguli petak utama di Melbourne dalam empat musim terakhir dan bagi lima daripada enam GP Australia sebelum ini.

“Ia hujung minggu yang menakjubkan setakat ini. Saya terlalu bangga dengan pasukan saya,” ujar Hamilton.

“Valtteri melakukan tugas hebat dan ia bagus buat kami di Mercedes. Ia pasti satu perlumbaan yang sengit.

“Esok saya akan menggunakan sepenuh kesempatan dan memastikan kembali dengan lebih kuat berbanding biasa.”

Dia diasak pada peringkat akhir Q3 mulanya oleh Bottas dan kemudian Vettel sebelum meraih catatan terpantas.

“Saya melakukan kesilapan di selekoh pertama dan di selekoh sembilan saya terlalu mencuba, tapi saya tidak fikir ia mencukupi,” jelas Vettel, yang meraih petak depan pertama Ferrari sejak 2015 apabila menyingkirkan Bottas daripada tangga kedua.

Catatan masa Hamilton 1.7 saat lebih pantas berbanding masa kelayakannya tahun lalu.

“Kedudukan ketiga tidak ideal,” kata Bottas.

“Secara umum saya tidak gembira dengan keputusan ini. Tapi saya bangga dengan apa yang dilakukan pasukan.

“Saya hanya melihat sebahagian kecil daripada persiapan dan bagus melihat kerja keras berhasil kerana kami bertarung di depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 10:09 AM