DARI kiri, Eksekutif Pemasaran Sukan Milo Ahmad Fadhly Shah Indra Gunawan, Ping Loong, Penulis Khas Kanan Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein dan Pengarang Berita Harian Metro Sufian Thauri Muhammed pada majlis penyerahan tajaan.
DARI kiri, Eksekutif Pemasaran Sukan Milo Ahmad Fadhly Shah Indra Gunawan, Ping Loong, Penulis Khas Kanan Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein dan Pengarang Berita Harian Metro Sufian Thauri Muhammed pada majlis penyerahan tajaan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sinonim dengan sukan sejak daripada dulu lagi, minuman berkhasiat Milo tampil sebagai penaja Kejohanan Bowling Best! Harian Metro yang berlangsung di Sahara Bowl & Cafe, Angsana Johor Bahru Mall, bermula esok hingga Sabtu ini.

Milo akan membekalkan minuman kepada semua peserta yang mengambil bahagian sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada semua peminat sukan khususnya mereka yang mengambil bahagian di kejohanan itu.

Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Produk Ng Ping Loong berkata, Milo tidak mahu terlepas bersama menggalakkan rakyat Malaysia bersukan bukan hanya demi kesihatan tapi bersama menghayati nilai murni yang boleh diterapkan dalam sukan.

“Melalui sukan banyak yang boleh dipelajari. Sukan adalah medium yang tepat untuk peserta meluaskan pergaulan dengan rakan mempunyai minat sama.

“Mereka boleh berinteraksi dan bersosial selain mengeratkan hubungan bagi mewujudkan suasana positif.

“Justeru Milo mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana sudi menjemput dan memberi peluang kepada kami sebagai salah satu penaja untuk memainkan peranan yang murni.

“Atas kesempatan ini, kami di Milo juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada peserta dan berjuanglah dengan semangat kesukanan tinggi,” katanya.

Kejohanan bowling anjuran Harian Metro ini kembali selepas lebih 10 tahun tidak dianjurkan sekali gus memberi peluang kepada peminat beraksi dan membawa pulang hadiah lumayan.

Juara akan membawa pulang RM1,000, pingat dan hamper, naib juara (RM700, pingat dan hamper) dan ketiga (RM600, pingat dan hamper).

Tempat keempat (RM500, pingat dan hamper) manakala kelima hingga ke-10 (RM200, pingat dan hamper).

Selain kejohanan bowling, konsert mini menampilkan barisan artis tempatan Wani, Bandi Amuk, Siti Nordiana dan kumpulan Jumero turut diadakan pada hari terakhir kejohanan.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi Rudy di talian 019-8241975.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 8:24 AM