NOR Hafizah (tiga dari kanan) bersama pasukan SDE.
NOR Hafizah (tiga dari kanan) bersama pasukan SDE.

Johor Bahru: Senai Desaru Expressways Bhd (SDE), syarikat konsesi tol membabitkan laluan lebuh raya Senai ke Desaru menghantar dua pasukan untuk beraksi di Kejohanan Bo wling Best! Harian Metro di Sahara Bowl & Cafe, Angsana dari 23 hingga 25 Mac ini.

Pembantu Operasi Bahagian Unit Tol Nor Hafizah Selamat berkata penyertaan mereka sebagai tanda sokongan terhadap usaha Harian Metro dalam memartabatkan aktiviti bowling di negara ini.

Katanya, dua pasukan itu membabitkan Kumpulan SDE A dan SDE B yang akan berentap dalam menyaingi pasukan lawan dalam kejohanan itu.

“Kebetulan kami baru saja selesai menyertai ‘Kejohanan Bowling Interhouse SDE’ pada 8 Mac lalu dan enam peserta berkenaan antara kelompok peserta yang memungut mata tinggi dalam tiga perlawanan.

“Biarpun kemenangan bukan matlamat utama, tapi jika terpilih antara 10 pasukan teratas sudah memadai bagi kami yang bukan bertaraf profesional,” katanya ketika menghantar borang penyertaan di pejabat Harian Metro Bandar Baru Uda, semalam.

Nor Hafizah yang mengetuai Plaza Tol Cahaya Baru berkata, semua pasukan SDE membabitkan Bahagian Tol dan Keselamatan Trafik SDE.

SDE A ditunjangi pemain seperti Safian Fadzan, 49, Kamaruddin Hanan, 29, dan Hilzan Azrie Shah, 39, manakala SDE B diketuai dirinya, Miskiah Sainee, 34, dan Siti Nor Khadijah Jaafar, 24.

Katanya, syarikat berkenaan berharap kerjasama dijalinkan dalam menyertai kejohanan itu dapat merapatkan hubungan erat antara SDE dan Harian Metro.

“Penting bagi kami menyokong usaha seperti ini, malah rakan media sentiasa memberi sokongan terhadap aktiviti dianjurkan SDE sekali gus memastikan hubungan berkenaan sedia terjalin untuk jangka panjang.

“Paling penting penyertaan pasukan kami dapat memeriahkan kejohanan itu kelak yang jarang-jarang diadakan di negeri ini,” katanya.

Kejohanan ‘one-off’ itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-26 akhbar ini dengan pelbagai hadiah menarik ditawarkan selain cabutan bertuah serta konsert mini pada hari terakhir kejohanan.

Kejohanan itu menyasarkan 100 pasukan membabitkan 300 pemain mengambil bahagian dengan pusingan saringan diadakan bermula Khamis dan Jumaat depan dengan hanya 10 pasukan teratas layak ke pusingan akhir.

Juara akan membawa pulang RM1,000, pingat dan hamper; naib juara (RM700, pingat dan hamper) dan ketiga (RM600, pingat dan hamper).

Tempat keempat (RM500, pingat dan hamper) manakala kelima hingga ke-10 (RM200, pingat dan hamper).

Borang boleh diperoleh di akhbar Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 6:44 AM