KOLABORASI Khatijah, Ramli, Hattan dan Jaclyn buai emosi penonton.
KOLABORASI Khatijah, Ramli, Hattan dan Jaclyn buai emosi penonton.
HATTAN
HATTAN
JACLYN
JACLYN
RAMLI Sarip.
RAMLI Sarip.
KHATIJAH turun pentas untuk menyanyi dengan Ahmad Nawab.
KHATIJAH turun pentas untuk menyanyi dengan Ahmad Nawab.
Najiy Jefri

Penyatuan empat bintang terkenal tanah air ini sudah lama dinanti peminat malah ramai berkampung di ruang legar Panggung Sari, Istana Budaya sejak jam 7 malam.

Masing-masing tidak sabar menyaksikan persembahan Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Datuk Khatijah Ibrahim dan Jaclyn Victor beraksi di konset Muzik4Humanity

Konsert amal berlangsung selama dua hari bermula Jumaat lalu itu bertujuan mengumpul dana bagi meringankan beban masyarakat dunia yang tertindas.

Bersenjatakan vokal dan berpelurukan rangkaian lagu hit, gandingan sulung empat figura hebat ini berjaya membuai emosi penonton.

Persembahan dibuka dengan alunan instrumental oleh 20 pemuzik yang diketuai Rudi Muhammad, diikuti kemunculan Ramli yang ringkas berkemeja putih.

Sebagai mukadimah, Ramli mengalunkan lagu Perjalanan Hidup dengan penuh bertenaga.

Pentas kemudian diambil alih Jaclyn menerusi lagu You Raise Me Up dan You Are The Voice. Kehebatan vokal penyanyi ini nyata memukau penonton yang hadir.

Seterusnya, Jaclyn membawa penonton menyusuri penderitaan mangsa penindasan seluruh dunia menerusi tayangan video ketika persembahannya. Ramai yang menahan sebak malah ada menitiskan air mata menyaksikan paparan menyedihkan itu.

Lebih menarik, Jaclyn berduet dengan penyanyi cilik, Iman menerusi lagu Wajah dan mendapat tepukan gemuruh penonton.

Tidak terhenti disitu, Jaclyn turut berkolaborasi dengan Hattan melalui lagu Tangisan Marhaenis. Lagu ini ada magis tersendiri hingga mampu mengikat hampir 1,000 penonton yang memenuhi Panggung Sari.

Konsert semakin hangat apabila Hattan menyampaikan lagu Memburu Rindu, Rendang Tak Berbuah dan Bisa Bonar. Persembahan anak jati Seri Menanti, Negeri Sembilan ini mendapat sorakan penonton.

Tidak membiarkan penonton menunggu lama, Ramli kembali ke atas pentas dan mengalunkan lagu Bukan Kerna Nama dan Teratai.

Malah, ketika menyanyikan lagu malar segarnya, Kamelia, energi yang dilontarkan melalui vokal luar biasa Ramli cukup mengagumkan sehingga panggung gemuruh dengan sorakan dan tepukan penonton.

Konsert semakin gamat apabila Khatijah menguasai pentas dengan lagu berhantunya iaitu Ku Sangka Siang Kiranya Malam dan Ku Pendam Sebuah Luka.

Malah dia membuatkan penonton berasa sebak apabila turun pentas untuk menyanyi bersama sifunya, Datuk Ahmad Nawab.

“Tanpa Abang Ahmad, saya tidak mungkin dapat beraksi di pentas ini. Dialah individu yang mencorak kerjaya seni saya dengan deretan lagu ciptaannya yang masih menjadi siulan ramai hingga ke hari ini,” katanya.

Tepat 11.30 malam, konsert terbabit melabuhkan tirai dengan lagu Doa Buat Kekasih yang disampaikan semua penyanyi.

Ternyata Konsert Muzik4Humanity cukup sempurna dan meninggalkan kenangan indah buat penonton.

Konsert sebeginilah yang diharapkan penonton. Selain memberi kepuasan, ia langkah terbaik demi kelangsungan karier penyanyi ‘otai’ tanah air yang pernah mewarnai kehidupan peminat dengan karya hebat mereka selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 9:38 AM