KONSERT Voices of Ladies menampilkan enam penyanyi terkenal tanah air iaitu Ella, Nora Ariffin, Aishah, Noraniza Idris, Yuka Kharisma dan Elda Susanti berjaya menghiburkan 3,000 penonton. FOTO Amirul Haswendy
KONSERT Voices of Ladies menampilkan enam penyanyi terkenal tanah air iaitu Ella, Nora Ariffin, Aishah, Noraniza Idris, Yuka Kharisma dan Elda Susanti berjaya menghiburkan 3,000 penonton. FOTO Amirul Haswendy
Ardini Sophia Sina


KONSERT Voices of Ladies menampilkan enam penyanyi terkenal tanah air iaitu Ella, Nora Ariffin, Aishah, Noraniza Idris, Yuka Kharisma dan Elda Susanti berjaya menghiburkan 3,000 penonton.

Acara anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Artis Tanahair itu diadakan di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, malam tadi.

Majlis yang berlangsung kira-kira satu jam 45 minit itu dimulakan dengan persembahan daripada kumpulan Ladies Of DBKL menyanyikan lagu medley Kopi Dangdut dan Penasaran.

Penyanyi pertama yang menghangatkan pentas Panggung Anniversari ialah Yuka Kharisma. Wanita kelahiran Indonesia itu menyampaikan lagu Ku Bersedia, Baby Santai dan Kecewa.

Sementara itu Elda Susanti menyampaikan lagu Yang Ku Sayang, Janji, Lagi Syantik manakala Nora Ariffin terus cemerlang dengan lagu Desa Tercinta dan medley Di Persimpangan Dilema dan Ada Dalam Tiada.

Aishah pula memilih single Janji Manismu dan Sensation untuk menghiburkan peminat. Penyanyi yang terkenal dengan lagu irama Malaysia, Noraniza Idris pula menghiburkan penonton dengan lagu Zapin Beradat dan Joget Dendang Sayang.

Kredibiliti Ratu Rock negara, Ella tidak perlu dipertikaikan lagi. Penonton turut sama menyanyikan lagu Dua Insan sepanjang persembahan wanita itu.

Konsert diakhiri oleh lagu Standing In The Eyes nyanyian Ella dan turut disertai oleh penyanyi lain dan tetamu kehormat.

Konsert berkenaan diadakan secara percuma khas untuk orang awam dalam usaha mengembalikan kemeriahan Panggung Anniversari yang pernah popular suatu ketika dahulu.

Konsert berkenaan dihadiri tetamu kehormat Datuk Bandar Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan isterinya, Puan Sri Datuk Rohmah Abd Latiff serta Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mohd Juri.

Ia turut dihadiri Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air, Datuk Dj Dave dan Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelacongan dan Sukan DBKL, Hasliza Abd Hamid.

Program diacarakan oleh Maria Tengku Sabri dan Muaz Kool Fm. Persembahan artis diiringi oleh Okestra Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 11:08 PM