Suspek kes pembunuhan wanita di Taman Dato Lew Yap Sip, Ampang, Ipoh, 13 Mac lalu, dibawa ke mahkamah hari ini, untuk permohonan lanjutan reman. - Foto MUHAIZAN YAHYA
Suspek kes pembunuhan wanita di Taman Dato Lew Yap Sip, Ampang, Ipoh, 13 Mac lalu, dibawa ke mahkamah hari ini, untuk permohonan lanjutan reman. - Foto MUHAIZAN YAHYA
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Mahkamah Majistret di sini hari ini, melanjutkan tempoh reman tujuh hari lagi hingga Isnin ini terhadap seorang peniaga yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang wanita di Taman Dato Lew Yap Sip, Ampang, Ipoh, 13 Mac lalu.

Penolong Pendaftar N Mageswari membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh reman suspek bermula esok, bagi membolehkan beberapa aspek siasatan dilengkapkan.

Terdahulu lelaki berusia 34 tahun iu dibawa ke mahkamah jam 10.35 pagi.

Sebelum ini, suspek direman tujuh hari bermula Selasa lalu, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mayat Hamidah Abdul Rahman, 53, ditemui anak bongsunya dalam bilik tidur ketika mahu mengejutkannya dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka di belakang badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong dalam kenyataan sebelum ini berkata, suspek yang berniaga di Pasar Besar Gunung Rapat ditahan pada 12 tengah hari, hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 1:27 PM