Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Polis menahan lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang wanita di Taman Dato Lew Yap Sip, Ampang, di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mayat Hamidah Abdul Rahman, 53, ditemui anak bongsunya dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka di belakang badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek yang berniaga di Pasar Besar Kampung Rapat, di sini, ditahan jam 12 tengah hari tadi dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Katanya, hasil bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan berlebihan akibat luka tikaman.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dipercayai ditikam di beberapa bahagian badan namun senjata digunakan suspek tidak ditemui di tempat kejadian.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan pecah masuk di pintu masuk rumah dan pintu bilik tidur mangsa. Mangsa dijumpai di bilik utama tingkat atas dalam keadaan terlentang di atas katil.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis percaya sudah berjaya menyelesaikan kes berkenaan dengan tertangkapnya suspek," katanya.

Berita berkaitan:

Tertiarap di bilik tidur

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 6:37 PM