IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Muhamad Izzat Nasuruden


Gerik: Lelaki ditemui lemas di Sungai Hangai, di sini, selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit sebelum dihanyutkan arus deras ke sungai itu.

Allahyarham Mohamad Fakarani Mokhtar, 32, yang membonceng motosikal rakannya berhenti berteduh di pondok menunggu bas kerana hujan, pada kira-kira 6 petang, Jumaat.

Bagaimanapun, arwah kemudiannya tiba-tiba diserang sawan dan terjatuh ke dalam parit.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Penguasa Bomba Zainal Ghani, berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.35 petang.

Katanya, anggota terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum operasi mencari mangsa dijalankan.

Menurutnya, jasad mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh, pada 7.25 malam.

"Kami percaya arwah dibawa arus deras air parit sehinggalah ke sungai berkenaan.

“Jasadnya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya, " katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 12:05 AM