Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Lebih 200 penduduk tinggal sehelai sepinggang apabila 45 rumah papan dihuni mereka di Kampung Muhibah, Likas, di sini, musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Dalam kejadian 8 pagi itu, seorang lelaki, Abdul Kahar Hukum Nurin, 56, turut cedera apabila melecur di kepala dan badan.

Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Moilley Milin, berkata, lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira 8.01 pagi.

"Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Lintas dengan kekuatan 38 anggota dikerahkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.

"Bomba berjaya mengawal api kebakaran daripada terus merebak kira-kira 8.50 pagi.

"Kita berjaya menyelamatkan kira-kira 30 buah rumah penduduk daripada turut terbakar dalam kejadian ini," katanya.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 11:00 AM
Keadaan kebakaran yang memusnahkan 45 rumah di Kampung Muhibbah, Likas, pagi tadi. - Foto MOHD ADAM ARININ
Keadaan kebakaran yang memusnahkan 45 rumah di Kampung Muhibbah, Likas, pagi tadi. - Foto MOHD ADAM ARININ