Tuan Asri Tuan Hussein

Menyoroti laporan berita muka depan Harian Metro Selasa lalu bertajuk ‘Remaja Kaki Lima’, pantas menyingkap ingatan saya kepada pengalaman menyantuni gelandangan di sekitar ibu kota, awal tahun lalu bersama sukarelawan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

Mengikut laporan berita Selasa lalu itu, jumlah gelandangan di Kuala Lumpur pada masa ini semakin ramai dengan angka tidak rasmi dianggarkan melebihi 5,000 orang.

Apa yang membimbangkan, golongan muda iaitu sekitar usia 20-an didapati semakin ramai menjadi gelandangan menyebabkan pihak berkuasa tambah pening kepala memikirkan kaedah terbaik bagi mengatasi masalah ini.

Secara peribadi, saya menyanjung tinggi keprihatinan sukarelawan dan NGO yang terbabit dalam aktiviti membantu gelandangan, tidak kira di mana. Bagi saya, mereka memiliki jiwa dan peribadi murni kerana sanggup bersusah payah membantu golongan kurang bernasib baik tanpa mengharap balasan.

Bagaimanapun, apabila berbicara soal gelandangan dengan pihak lain, saya mendapati bukan semua pihak berkongsi rasa dengan saya. Ramai juga yang tidak setuju dan berpendapat sebaliknya.

Bagi mereka, tindakan sukarelawan dan NGO memberi makanan, pakaian dan macam-macam jenis lagi bantuan kepada gelandangan bukan langkah yang bijak.

Ini kerana, pelbagai jenis bantuan itulah yang menyebabkan gelandangan menjadi manja, mengada-ngada dan mengambil kesempatan sehingga jumlah mereka kini semakin ramai.

“Di Kuala Lumpur sekarang, makin ramai gelandangan sebab banyak NGO tolong dia orang. Makan orang bagi, pakaian dapat percuma, tempat tinggal pun kerajaan sediakan. Makin ‘lemak’ lah dia orang ni. Sebab tu ramai yang semakin malas dan lebih suka jadi gelandangan.

“Percayalah cakap aku, masalah gelandangan ini akan tetap ada sampai bila-bila kerana dia orang memang suka hidup macam itu. Kau buatlah apapun, ia tak akan selesai.”

Demikian hujah seorang rakan yang cukup tidak berkenan dengan golongan gelandangan serta pihak yang membantu mereka. Ya, mungkin ada kebenaran kata-katanya itu dan pendapatnya saya hormati.

Tidak salah untuk dia berpandangan sedemikian, namun saya memilih untuk berada di dalam kelompok pemikiran yang berbeza.

Memang ada kebenaran gelandangan mungkin manja serta semakin malas jika sering dan mudah menerima bantuan, namun saya berpendirian keadaan tidak akan menjadi lebih baik jika mereka dibiarkan begitu saja.

Saya yakin, jika tiada pihak memberikan pertolongan, masalah gelandangan tetap tidak akan selesai. Jumlah mereka tidak akan berkurang tetapi tetap akan bertambah.

Berbekalkan sedikit pengalaman menyantuni golongan itu, saya berpendapat gelandangan perlu didekati, diberi perhatian, bantuan, bimbingan dan tidak sama sekali dipinggirkan.

Persoalannya ialah bagaimana bentuk bantuan itu? Jangan beri mereka ikan tapi beri mereka joran. Ramai yang kata begitu. Ya, memang betul, cuma bercakap memang mudah tapi nak buat belum tentu.

Pada pandangan saya, semua sukarelawan dan NGO yang terbabit dalam aktiviti menyantuni gelandangan amat sedar dan memahami hakikat ini. Mereka memang mahu memberi joran kepada gelandangan dan bukannya ikan.

Namun, memberi joran ini bukan tugas mudah. Ia mencakupi gerak kerja membimbing, dakwah dan mengubah mentaliti gelandangan yang rosak dan amat negatif.

Hanya yang biasa turun padang dan menyusup masuk ke bawah jambatan untuk bersama gelandangan tahu cabaran dan hakikat sebenar.

Kalau sekadar bercakap di dalam forum, di atas pentas atau bilik mesyuarat berhawa dingin tanpa sekali pun menjejakkan kaki ke lorong hanyir yang menjadi syurga gelandangan, kita bukan orang yang layak untuk berbicara soal penyelesaian kepada masalah gelandangan.

Kalau kita tak mampu buat baik, jangan marah orang lain nak buat baik. Kalau kita tidak mahu atau mampu membantu, jangan perlekehkan orang yang mahu dan mampu membantu.

Hidup bukan sekali tetapi dua kali. Di sana lebih utama daripada di sini. Oleh itu, jadilah orang bijaksana bukan ‘bijaksini’. Hidup ini bukan sekadar kerja cari duit, makan dan pergi jalan-jalan. Hidup kena ada erti, kena ada isi, ada bekalan yang perlu dicari.

Yang senang tolong yang susah. Tangan di atas lebih baik daripada yang di bawah. Kerja dakwah tanggungjawab semua, bukan saja ustaz dan ustazah. Fakir salah satu pintu kufur. Bantulah si fakir itu dengan niat supaya dia tidak kufur. Tuhan tak tanya kita berjaya atau tidak. Yang ditanya, kita buat atau tidak.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 8:17 AM