Sukarelawan memberi sumbangan kepada gelandangan di sekitar Chow Kit. FOTO Mustaffa Kamal
Sukarelawan memberi sumbangan kepada gelandangan di sekitar Chow Kit. FOTO Mustaffa Kamal
Mohamad Hussin


“RANCANGAN awal kami hendak menyertai perhimpunan Festival Permainan Malaysia di Dataran Merdeka untuk berkumpul dan bergambar namun bertukar fikiran melakukan kerja amal di sekitar bandar raya.

“Niat kami cuma hendak membantu gelandangan dengan menghulurkan bantuan makanan dan pakaian sempena Hari Malaysia,” kata Penyelaras Baitul Fiqh, Hashim Mohd Noh.

Lebih 50 sukarelawan membabitkan Baitul Fiqh, Rakan Bersatu Kebajikan Selangor (RBKS) dan Real Team menyantuni gelandangan di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Hashim berkata, dia bersama rakan sukarelawan lain bersepakat melakukan kerja amal itu dalam membantu golongan berkenaan.

“Kita berkumpul di Surau Al-Hijrah, Chow Kit sebelum bergerak ke beberapa lokasi untuk menyampaikan bekalan makanan dan pakaian kepada lebih 100 gelandangan.

“Hasil pemantauan mendapati bilangan golongan gelandangan semakin bertambah dan mereka memerlukan bantuan serta sokongan.

“Ada antara mereka apabila didekati untuk menyerahkan sumbangan tiba-tiba lari mungkin malu,” katanya ditemui sempena Program Tanah Melayu Kembali Bertanjak hari ini.

Katanya, kebanyakan sukarelawan lengkap memakai tanjak dan baju Jalur Gemilang bagi membuktikan semangat cintakan negara.

Pengerusi RBKS, Suryanita Safie berkata, pihaknya kerap mengadakan misi memberi bantuan makanan dan pakaian kepada gelandangan dan mereka yang memerlukan.

“Kami hanya pertubuhan sukarela dan misi ini dilakukan ahli yang saban minggu berkumpul mengedarkan makanan.

“Hari ini kami menyediakan 140 pek makanan kepada gelandangan dan mereka amat memerlukan bantuan bagi menjalani kehidupan,” katanya.

Katanya, sebelum ini, RBKS hanya tertumpu di kawasan Klang, Selangor, kerana di situ juga terdapat golongan gelandangan khususnya di bawah jambatan Klang.

“Kita mengambil inisiatif turun padang ke ibu kota bagi menyantuni golongan berkenaan rata-rata yang tidak mempunyai rumah.

“Ada yang tidur di kaki lima dan tidak makan selama beberapa hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 10:43 PM