mesej meminta orang ramai tidak mengunjungi pusat beli-belah dan tempat awam kononnya Malaysia sasaran kumpulan pengganas sejak dua hari lalu adalah palsu.
mesej meminta orang ramai tidak mengunjungi pusat beli-belah dan tempat awam kononnya Malaysia sasaran kumpulan pengganas sejak dua hari lalu adalah palsu.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sebaran mesej meminta orang ramai tidak mengunjungi pusat beli-belah dan tempat awam kononnya Malaysia sasaran kumpulan pengganas sejak dua hari lalu adalah palsu.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datin Asmawati Ahmad berkata, pihaknya mengesan mesej terbabit tersebar melalui aplikasi WhatsApp yang mendakwa bahawa kerajaan sudah mengeluarkan amaran berhubung perkara itu.

Katanya, maklumat terbabit adalah palsu dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, bertujuan menakutkan orang ramai.

"Ia adalah mesej yang dimanipulasi dan dikitar semula beberapa kali sehingga menimbulkan kegusaran kepada masyarakat tanpa sebab yang sahih.

"PDRM ingin menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita yang tidak berasas.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak berkongsi dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, mesej palsu terbabit bukan sahaja menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat sehingga membantutkan aktiviti harian mereka, tetapi turut berupaya menjejaskan ekonomi negara.

"PDRM akan terus berusaha untuk mengekalkan keselamatan awam dan memelihara kedaulatan negara dari sebarang ancaman dari dalam mahupun luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 1:16 AM