MESEJ yang ditularkan di WhatsApp. FOTO Ihsan Pembaca
MESEJ yang ditularkan di WhatsApp. FOTO Ihsan Pembaca
Hasbi Sidek


MESEJ yang tular sejak semalam mendakwa seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Faris Farhan Akhlaken Ahmad dikehendaki polis kerana terbabit dalam kegiatan penjualan organ manusia tidak benar.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Asmawati Ahmad berkata, mesej itu adalah palsu dan diulang siar sejak 2014.

“PDRM mengesan satu mesej tular di platform WhatsApp yang dibuat atas nama ACP Datin Asmawati Ahmad, Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat), dengan mendakwa konon seorang lelaki dikehendaki polis.

“Mohd Faris Farhan Akhlaken kononnya dikehendaki kerana aktif dalam kegiatan penjualan organ manusia serta perogol bersiri di Malaysia dan sempadan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan mesej itu dengan menokok tambah gambar bertujuan mensensasikan lagi berita palsu berkenaan.

“PDRM ingin mengesahkan mesej tular berkenaan tidak benar dan ia adalah mesej palsu yang diulang siar beberapa kali sejak 2014 bagi tujuan membangkitkan kegusaran dan ketakutan tanpa asas dalam kalangan orang ramai.

“PDRM tidak menerima sebarang maklumat sahih atau laporan polis yang dibuat berkaitan kejadian penculikan untuk tujuan penjualan organ di negara ini.

“PDRM juga ingin memaklumkan sebarang kenyataan rasmi daripada pejabat ini, hanya akan dibuat melalui saluran serta format rasmi, bukannya melalui platform WhatsApp,” katanya.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak mudah percaya dengan berita sensasi yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

Menurutnya, tindakan berkongsi atau menyebar berita sedemikian hanya akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat.

“Sila hubungi pihak berwajib untuk mendapatkan kepastian dan elakkan diri daripada menjadi sebahagian kepada punca tularnya berita palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 10:54 PM