Khalid (tujuh dari kiri) bergambar dengan pegawai kanan PDRM selepas mempengerusikan mesyuarat CCIU. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Khalid (tujuh dari kiri) bergambar dengan pegawai kanan PDRM selepas mempengerusikan mesyuarat CCIU. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Mohd Sabran Md Sani


Kulai: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan kes penculikan membabitkan seorang suri rumah selepas dilarikan kumpulan yang didalangi warga tempatan dan Indonesia dalam kejadian culik jam 3.30 pagi di kediamannya di sini, pada pertengahan bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mangsa berkenaan selamat pulang ke tanah air selepas dikurung di sebuah rumah ladang di Batam, Indonesia 27 hari lalu.

“Ia kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah dengan bantuan rakan-rakan dari Singapura dan Indonesia susulan penculikan mangsa sepanjang tempoh berkenaan.

“Berkat kerjasama, selain ketiadaan publisiti akhirnya selepas 27 hari, mangsa penculikan itu berjaya diselamatkan.

“Seramai 12 suspek membabitkan lelaki dan perempuan yang terbabit dalam kejadian di Johor Bahru dan enam orang ditahan di Batam, Indonesia.

“Semua suspek berusia 18 hingga 50-an kini direman selama seminggu, selain dalam proses perbincangan untuk membawa suspek Batam ke negara ini,” katanya pada sidang media Mesyuarat Kick Off Projek Penambahbaikan dan Perluasan Sistem Unit Pusat Risikan Jenayah (CCICU) di Le Grandeur Palm Resort, Senai, hari ini.

Sehubungan itu katanya, polis berjaya menyelesaikan kes itu dan berterima kasih kepada pihak berkuasa kedua-dua negara dalam membantu menyalurkan maklumat.

Dalam perkembangan lain Khalid berkata, polis tidak mendapat sebarang petunjuk baru membabitkan kes penculikan paderi Raymon Koh Keng Joo dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Petaling Jaya, bulan lalu.

Katanya, polis buntu dan tidak mempunyai maklumat lanjut kehilangan lelaki itu akibat publisiti meluas menerusi media dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam hal berkaitan penculikan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 12:54 PM