Asrol Awang


Kuantan: Kekalahan besar 0-5 kepada Kuantan FA kelmarin, menyaksikan Razip Ismail (gambar) membuat keputusan melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih Perlis.

Bekas pemain kebangsaan yang mengambil alih tugas Dollah Salleh pada Disember tahun lalu membuat keputusan itu selepas skuad kendaliannya gagal mencatat kemenangan.

Katanya, kekalahan itu amat mengecewakan yang mendorongnya membuat keputusan melepaskan jawatan dipegang selama tiga bulan.

“Bagi saya segala-galanya tidak menjadi malam ini (kelmarin) kerana sudah melakukan segala percaturan untuk memastikan Perlis memberikan tentangan terhadap Kuantan FA.

“Apabila sudah memperkuatkan semua bahagian, ia tidak dapat merubah keputusan sehingga lima gol dibolosi, jadi keputusan itu amat mengecewakan.

“Saya sudah memaklumkan kepada pengurusan PFA (Persatuan Bolasepak Perlis) berhubung peletakan jawatan selaku jurulatih ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, Razip yang membimbing Pahang musim lalu gagal mengekang asakan bertali arus Kuantan FA yang menyebabkan skuad kendaliannya dibolosi lima kali.

Lima gol itu sudah cukup untuk Razip melepaskan jawatan selepas turut didesak penyokong Singa Utara selepas gagal mencatat kemenangan termasuk diberikan amaran oleh PFA.

Statistik lapan perlawanan menyaksikan Perlis merekodkan enam kekalahan dan dua seri serta kekal di tangga tercorot apabila sekadar mengutip dua mata.

Susulan peletakan jawatan Razip itu bermakna beliau menyertai empat jurulatih Liga Malaysia musim ini terbabit dalam isu sama ada meletakkan jawatan atau ditamatkan kontrak ketika aksi belum menghampiri pertengahan liga.

Mereka adalah jurulatih pasukan Liga Super - Mario Gomez (Johor Darul Ta’zim), Azmi Mohamed (FELDA United), Karl Heinz Weigang (Perak) - serta pengendali Liga Perdana Wanderley Junior (Kuala Lumpur).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 5:10 AM