RAZIP sedia lepas jawatan.
RAZIP sedia lepas jawatan.
myMetro

Kangar: Razip Ismail sedia melepaskan jawatan ketua jurulatih jika Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) tidak berpuas hati dengan khidmatnya.

Katanya beliau sudah melakukan segala terdaya berdasarkan sumber sedia ada untuk melakar kemenangan bagi pasukan Singa Utara itu.

“Saya melakukan segala-galanya termasuk menukar strategi, pemain dan merehatkan pemain import namun apakan daya keupayaan mereka terhad dan pilihan yang ada juga tidak begitu banyak,” katanya, semalam.

Dalam saingan menentang Terengganu kelmarin, pasukan Singa Utara itu tersungkur 1-2 di laman sendiri, sekali gus menjadikannya kekalahan kelima mereka daripada tujuh perlawanan setakat ini.

Kekalahan itu yang mengekalkan Perlis di tangga tercorot liga dengan hanya dua mata turut meletakkan kedudukan Razip seperti telur di hujung tanduk.

“Penyokong harus faham situasi kami yang kekurangan banyak sumber khususnya pemain. Macam mana hendak menang dengan barisan pemain yang pasukan lain tidak mahu.

“Malah, pemain yang ada pun sebenarnya tidak layak bermain Liga Perdana.

“Jadi, saya harap sangat penyokong melihat perkara ini secara menyeluruh. Jangan hanya lihat semuanya negatif apabila kalah,” katanya.

Mengenai pemain import pasukan itu, Razip berkata ketiga-tiga mereka Damion Delano Steward, Oh Kyu Bin dan Brandon Adams masih terumbang-ambing mencari keserasian dalam pasukan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 8:43 AM