AWIE (tengah) bersama ahli kumpulan Wings di sidang media berkenaan program Raikan Cinta Ramadan Wings di Banafee Village. FOTO Mary Victoria Dass
AWIE (tengah) bersama ahli kumpulan Wings di sidang media berkenaan program Raikan Cinta Ramadan Wings di Banafee Village. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Selepas perancangan mengeluarkan album tertangguh sejak 10 tahun lalu, kumpulan rock lagenda, Wings akan hadir dengan album baharu mereka dalam tahun ini.

Album istimewa itu dijangka akan diterbitkan oleh komposer dan penerbit, Datuk M Nasir yang turut menyumbangkan lagu ciptannya buat Wings.

Vokalis Wings, Datuk Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 54, berkata album studio ke-13 Wings itu bakal memuatkan sebanyak 20 lagu.

Katanya, album itu sudah tertangguh sejak 10 tahun lalu dan sepatutnya dapat dikeluarkan lebih awal, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia ditangguh lagi.

"Buat masa ini, masih belum ada tajuk lagi dan kami pun sudah siap merakamkan 16 daripada 20 buah lagu yang akan dimuatkan dalam album.

"Malah, anggota Wings juga menyumbang lagu. Antaranya, saya, Syam dan Edrie Hashim yang kedua-dua mereka adalah gitaris Wings.

"Menerusi cara ini, Wings mahu menghidupkan semula industri muzik kita yang sudah merundum dan kita juga mahukan Wings satu hari nanti menjadi rujukan kepada band-band baharu," katanya.

Awie berkata demikian ketika ditemui di sidang media program Raikan Cinta Ramadan Wings di Banafee Village di sini, malam tadi.

Hadir sama dalam majlis itu, semua anggota Wings iaitu Syam dan Edrie (pemain gitar), Eddie (pemain bass) serta Black (pemain dram).

Awie berkata, album berkenaan juga akan diterbitkan dalam format cakera padat (CD) dan kemudian, dikeluarkan dalam bentuk piring hitam (LP). Bagaimanapun, berapa jumlah cetakan dikeluarkan nanti masih belum diputuskan lagi.

Ujar Awie, kumpulan itu masih mahu mengeluarkan album dalam bentuk fizikal berbanding digital kerana format berkenaan amat istimewa dan peminat boleh menyimpannya serta mempunyai apresiasi yang lebih.

Menurutnya, muzik mereka mainkan pada kali ini juga berkonsepkan rock nusantara iaitu sama sekali berbeza dengan album-album terdahulu.

"Konsep rock nusantara ini menampilkan elemen-elemen nusantara dan kita percaya album ini akan menjadi 'trend setter' dalam industri muzik kerana ia menggabungkan muzik rancak dan perlahan," katanya.

Wings yang tampil dalam Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) baru-baru ini, turut merancang mengadakan konsert dalam skala kecil dan besar termasuk siri jelajah pada tahun depan untuk promosikan album.

"Kita akan membuat konsert seperti pada tahun 1987 atau 1988 dan selepas itu, kita masuk ke kampung dan Felda atau kawasan pedalaman untuk membuat 'show' selain tumpuan pada konsert besar merangkumi dari 1,000 penonton kepada puluhan ribu penonton," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 6:08 PM