SERAMAI 100 pelajar anak yatim dan miskin SMK Gerik gembira menerima sumbangan daripada UKM.
SERAMAI 100 pelajar anak yatim dan miskin SMK Gerik gembira menerima sumbangan daripada UKM.
D J Dolasoh

Seramai 100 pelajar anak yatim dan miskin SMK Gerik (SMKG), Perak dibantu bagi mencapai kecemerlangan akademik apabila menerima sumbangan agihan zakat sebanyak RM11,000 daripada unit zakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Bantuan itu bertujuan membayar yuran tambahan sekolah pelajar terbabit selain pemberian sebuah beg setiap seorang bagi memudahkan mereka membawa peralatan belajar.

Pemberian wang berkenaan disampaikan pegawai zakatnya, Marzuki Paizi kepada Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKG Azhar Bahrin.

Pada masa sama pemberian wang zakat itu juga sempena program Profesor Ke Desa (PKD) UKM dan dirasmikan pegawai SI Partner Hulu Perak Abdul Razak Mat Wahie.

Turut hadir, Timbalan Dekan (Prasiswazah dan Alumni), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) UKM Prof Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman dan Pengetua SMKG Rosli Hashim.

Rosli berkata, seramai 100 anak yatim dan miskin daripada 711 pelajar sekolah terbabit tidak mampu membayar yuran tambahan sekolah khususnya untuk program kecemerlangan akademik dibantu UKM bagi meringankan bebanan mereka.

“Sebahagian pelajar kami daripada keluarga miskin dan pemilihan UKM terhadap sekolah ini bertepatan sekali bagi memastikan mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan baik demi meningkatkan kecemerlangan akademik,” katanya.

Sempena program itu, persembahan inovasi sains daripada sekretariat UKM seperti membuat 10 ‘hovercraft’ elektrik yang termasuk tiga daripada bidang keberhasilan utama UKM turut diadakan.

Sementara itu, pelajar anak yatim Siti Khadijah Suhaili, 17, berkata, pemberian wang itu meringankan bebanan keluarganya kerana tidak perlu lagi membayar yuran tambahan persekolahan untuk kecemerlangan akademiknya.

“Bantuan ini menambahkan semangat belajar dan menguatkan azam untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November nanti,” katanya.

Sementara itu, Khairul Bahrin Mohd Nizam, 15 berkata, selain mendengar ceramah motivasi, perkongsian ilmu turut diperoleh apabila diberi peluang mereka cipta teknologi kejuruteraan.

“Saya dan rakan seronok mengikuti program ini yang memberi pendedahan aktiviti reka cipta.

“Ini sekali gus dapat memupuk minat kami terhadap kepelbagaian subjek terutama sains yang dianggap sukar sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 10:58 AM