GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Setar: Lelaki melecur di muka dan tangan selepas dapur rumahnya terbakar di Jalan Tun Sheikh Sahabudin, Taman Asas di sini, 7 pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7.05 pagi.

Beliau berkata, sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Abdul Hadi Abdul Rahman tiba di lokasi, 7.13 pagi.

"Sejurus tiba, didapati kebakaran membabitkan rumah teres terbakar di bahagian dapur hampir lima peratus.

"Anggota bomba menggunakan dua pancutan bagi mengawal dan memadam kebakaran.

"Api padam sepenuhnya jam 7.30 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nur Hafizah berkata, kejadian mengakibatkan penghuni lelaki berusia 60-an melecur di muka dan tangan,

Mangsa dibawa dengan jentera perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS) ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 10:11 AM