MANGSA menjala ikan sebelum ditemui lemas. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
MANGSA menjala ikan sebelum ditemui lemas. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Bahau: Lelaki berusia 20 tahun ditemui lemas selepas dipercayai terbelit pada jala dalam kejadian di Empangan Bukit Gombang, di sini, malam tadi.

Mangsa dikatakan menjala ikan di empangan terbabit kira-kira jam 7 malam sebelum ditemui lemas.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Kampung Lonek, di sini terjun ke dalam empangan terbabit sebelum lemas.

Sumber berkata, kejadian itu disedari beberapa pemancing yang kebetulan berada di lokasi sebelum mereka menghubungi bomba.

"Usaha mencari mangsa bermula dengan bantuan orang awam sebelum jasadnya ditemui terbelit pada jala. Mangsa kemudian dibawa ke tebing namun sudah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Bahau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.03 malam sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera ke lokasi.

"Mangsa dijumpai orang awam sebelum kami tiba di lokasi. Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Jempol untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 8:37 PM