ANNUAR pada sidang media, di Sandakan mengumumkan menarik diri daripada bertanding untuk merebut jawatan Presiden FAM. -Foto POLIANA RONNIE SIDOM
ANNUAR pada sidang media, di Sandakan mengumumkan menarik diri daripada bertanding untuk merebut jawatan Presiden FAM. -Foto POLIANA RONNIE SIDOM
Nazri Abu Bakar


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik langkah bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden FAM pada 14 Julai ini.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berkata langkah Annuar itu amat tepat, sekali gus menghormati majoriti pencalonan kepada Datuk Hamidin Mohd Amin yang mendapat sokongan kuat ahli gabungan.

Katanya, berdasarkan hubungan baik Annuar dan Hamidin serta Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sudah pasti tiada masalah untuk beliau membantu FAM demi kemajuan badan induk bola sepak terbabit.

“Malah, pengalaman luas Annuar amat relevan untuk memberi idea kepada FAM dengan berganding bahu ke arah pengurusan yang lebih cemerlang walau beliau bukan presiden sekali pun.

“Kini FAM hanya menunggu surat rasmi berkaitan pengesahan menarik diri. Ini kerana, secara teknikalnya surat itu perlu untuk memastikan Kongres FAM berjalan lancar dan tiada pertandingan berlaku,”katanya.

Mohd Yusoff juga mengulangi keyakinan Annuar akan bersama-sama menyokong kepemimpinan FAM yang baharu berikutan pandangannya mampu untuk melonjak imej persatuan kelak.

Sebelum ini, FAM mengesahkan menerima borang pencalonan Annuar, sekali gus menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan Hamidin.

Ini berikutan seorang lagi calon presiden iaitu Pengerusi Institut Sukan Negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mengesahkan menolak pencalonan untuk merebut jawatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 9:25 PM