Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Seorang lelaki berusia 26 tahun cedera di bahu kanan selepas ditembak ketika sedang menunggang motosikal di Persiaran Kamuning, Jalan Lintang, Sungai Siput, dekat sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang juga pekerja estet manaiki motosikal untuk ke restoran sebelum didatangi dua lelaki yang turut menaiki motosikal.

"Mangsa dikatakan dalam perjalanan ke restoran berdekatan Pasaraya TF Sungai Siput dan ketika menunggang motosikal seorang diri melalui Jalan Lintang, dan secara tiba-tiba muncul motosikal dinaiki dua lelaki yang terus melepaskan tiga das tembakan.

"Satu tembakan mengenai pada bahagian lengan kanan dan sisi bahagian belakang badan kanan. Selepas kejadian, mangsa terus ke rumah kawan minta bantuan ke hospital," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 3:31 PM