Jalan ke pekan Lintang, Sungai Siput turut dinaiki air. FOTO Abdullah Yusof
Jalan ke pekan Lintang, Sungai Siput turut dinaiki air. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak


SERAMAI 200 penduduk membabitkan tujuh kampung di daerah Sungai Siput dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan banjir di kawasan berkenaan sejak awal pagi hari ini.

Setakat 5 petang hari ini, dua PPS dibuka di Dewan Haji Mohamad Padil, Kampung Lintang dan Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat bagi menempatkan penduduk terjejas.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Sungai Siput berkata, di PPS Dewan Haji Mohamad Padil Kampung Lintang, 151 penduduk ditempatkan membabitkan 49 keluarga.

“Penduduk yang terjejas membabitkan lelaki (50), wanita (62), kanak-kanak lelaki (23), kanak-kanak perempuan (6), bayi lelaki (5), bayi perempuan (4) dan seorang lelaki kurang upaya (OKU).

“Air mula naik di kawasan ini kira-kira 5 pagi disebabkan hujan lebat berterusan sejak semalam, namun hujan sudah berhenti dan setakat 5 petang hari ini cuaca cerah serta banjir sudah surut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa banjir, Mohd Nor Azhar Mohd Zaki, 30, dan isteri Siti Mariam Omar, 26, bersama anak mereka tinggal di pusat pemindahan Dewan Haji Mohamad Padil selepas rumah mereka dinaiki air. FOTO Abdullah Yusof
Mangsa banjir, Mohd Nor Azhar Mohd Zaki, 30, dan isteri Siti Mariam Omar, 26, bersama anak mereka tinggal di pusat pemindahan Dewan Haji Mohamad Padil selepas rumah mereka dinaiki air. FOTO Abdullah Yusof

Menurutnya, di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat pula 12 keluarga ditempatkan membabitkan 49 penduduk dengan pecahan lelaki (16), wanita (13, kanak-kanak lelaki (12), kanak-kanak perempuan (7) dan seorang kanak-kanak perempuan OKU.

“Keadaan banjir dipantau agensi berkaitan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Penghulu,” katanya.

Berita berkaitan

Banjir: SK Lintang ditutup [METROTV]

Sungai Siput pula dilanda banjir

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 6:34 PM