Aizat Sharif


Alor Setar: Mahkamah Tinggi hari ini, menolak rayuan bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, Ahmad Zamri Chik, 49, untuk mengenepikan sabitan hukuman penjara enam bulan terhadapnya bagi kesalahan rasuah, enam tahun lalu.

Mahkamah Sesyen pada 31 Disember 2014 mensabitkan tertuduh yang didakwa menerima rasuah RM1,500 daripada seorang lelaki, Safarullah Mydin sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat sokongan pelesenan kepada sebuah syarikat.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan Ahmad Zamri membayar kos pendakwaan RM2,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar kos berkenaan.

Bagaimanapun, dia memohon penangguhan pelaksanaan hukuman untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.

Dalam prosiding rayuan pada hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hashim Hamzah menolak rayuan selepas meneliti hujah dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmad Zamri didakwa menerima wang tunai RM1,500 daripada Safarullah yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh untuk mengeluarkan surat sokongan pelesenan kepada Syarikat Mega Excel Venture pada 27 April 2011 yang sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rayuan Malaysia (SPRM) A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam G Ravishankar.

Ravishankar bagaimanapun memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara kepada anak guamnya sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 3:44 PM