GAMBAR menunjukkan penduduk Buddha Myanmar menyiapkan sepanduk menentang kehadiran Rohingya di negara itu.  - EPA
GAMBAR menunjukkan penduduk Buddha Myanmar menyiapkan sepanduk menentang kehadiran Rohingya di negara itu. - EPA

Yangon: Pihak berkuasa Myanmar semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki Rohingya selepas mendapati dia bersalah mengetuai serangan ke atas pos sempadan polis yang digunakan kerajaan sebagai alasan untuk melancarkan keganasan terhadap penduduk Islam di negeri itu.

Ratusan penduduk minoriti Islam di negeri berkenaan terbunuh dan puluhan ribu lagi melarikan diri ke Bangladesh sejak tentera dan polis Myanmar melancarkan keganasan berkenaan empat bulan lalu.

Ketua polis Sittwe, Yan Naing Lett berkata, mahkamah di bandar yang menjadi ibu negeri Rakhine itu mendapati lelaki berkenaan bersalah Jumaat lalu kerana menyerang pos sempadan Kotankauk.

“Mamahdnu Aka Aula menyerang dan mengetuai serangan itu. Dia antara 14 penyerang yang ditahan di bandar Sittwe,” kata Yang.

Dia bagaimanapun tidak menyebut tarikh hukuman itu akan dilaksanakan.

Tiga belas lagi yang dituduh dihadapkan ke mahkamah tetapi belum ada hukuman dijatuhkan ke atas mereka.

Kerajaan Myanmar mendakwa kononnya ratusan militan Rohingya menyerang tiga pos di sempadan Bangladesh pada 9 Oktober lalu, menyebabkan sembilan polis mati.

Hukuman itu diumumkan beberapa hari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menuduh tentera dan polis Myanmar melancarkan kempen memperkosa, menyeksa dan membunuh etnik Rohingya yang ia tidak mengaku rakyat.

Berdasarkan wawancara dengan ratusan yang melarikan diri ke Bangladesh, penyiasat berkata, tindakan pihak berkuasa Myanmar itu sama seperti penghapusan etnik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 9:59 AM