Lelaki dipercayai kurang siuman yang ditahan selepas membakar bilik sewanya. FOTO Omar Osman
Lelaki dipercayai kurang siuman yang ditahan selepas membakar bilik sewanya. FOTO Omar Osman
Omar Osman


Sungai Petani: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak membakar bilik sewanya di sebuah rumah kedai dua tingkat di Kampung Raja, Jalan Kuala Ketil, di sini, sebelum terjun melalui tingkap, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, lelaki berusia 40-an itu bagaimanapun berjaya ditahan orang ramai yang menyaksikan kejadian sebelum menyerahkan kepada polis.

Saksi kejadian yang mahu dikenali Ong berkata, dia dan rakan terkejut apabila melihat seorang lelaki keluar dari tingkap rumah kedai dua tingkat itu dan terjun.

Katanya, selepas itu, mereka melihat kepulan asap tebal keluar dari bilik yang disewa lelaki itu sejak enam bulan lalu.

"Rakan saya menelefon bomba dan kami melihat lelaki itu cuba melarikan diri.

"Kami sering mendengar lelaki itu bercakap bilik sewanya berhantu dan ada orang mahu membakarnya. Pagi tadi, dia ada bercakap perkara sama," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Sungai Petani Mohamad Khairi Baharuddin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.19 petang lalu bergegas ke tempat kejadian.

"Api berjaya dikawal jam 2.38 petang tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 7:12 PM