PELANGGAN tetap yang menyukai asam pedas Belanga Ibu.
PELANGGAN tetap yang menyukai asam pedas Belanga Ibu.
ASAM pedas daging tetel.
ASAM pedas daging tetel.
Fatin Farhana Japre


Menikmati sajian makan tengah hari berlauk asam pedas tentunya membuatkan penggemar menu antara terkenal di Melaka ini sukar menggambarkan kelazatannya dengan kata-kata.

Kuahnya yang pekat ditambah aromanya yang ‘wangi’ menjadi penambah selera, apatah lagi dimakan bersama nasi putih panas, telur masin, ulam-ulaman dan sambal belacan.

Namun pernahkan anda mencuba asam pedas ayam, udang atau sotong?

Ketika berkunjung ke Melaka baru-baru ini, penulis berpeluang merasai sendiri keunikan asam pedas ayam, udang dan sotong di Restoran Belanga Ibu yang terletak di Pusat Komersial Cendana, Ayer Keroh.

Apa yang boleh penulis kongsikan, rasa asam pedasnya langsung tidak mengecewakan dan mengajak anda untuk datang lagi menjamu selera di situ.

Meskipun asam pedas ini bukan dimasak dengan ikan, rasa kuahnya yang pekat masih sama dan membezakannya hanyalah ikan, ayam, sotong atau daging tetel mengikut kegemaran anda.

Pemiliknya, Mohamad Hafiz Ab Halim, 27, berkata, asam pedas ikan terlalu biasa dalam kalangan ma­syarakat kita pada hari ini menyebabkan beliau mencari kelainan menyediakan menu asam pedas ayam, udang dan sotong yang tidak mungkin ditemui di restoran lain sekitar Melaka.

“Rata-rata di Melaka kuahnya cair menyebabkan hilang kepuasan sebenar menghirup kuah asam pedas buat mereka yang menggemarinya.

“Saya berani jamin asam pedas Belanga Ibu resipi asli bonda saya bakal memberi kepuasan maksimum kepada pelanggan kerana kuahnya yang pekat dan banyak pilihan berasaskan makanan laut.

“Tambahan pula, asam pedas kami menggunakan buah pelaga yang biasa­nya menjadi ramuan untuk memasak kari sebagai salah satu bahan rahsia ke­enakannya.

“Saya juga membeli bahan mentah setiap pagi di pasar borong bagi memastikan kesegaran hidangan,” katanya.

Menyedari ada sesete­ngah orang yang tidak makan ikan, tapi masih menggemari asam pedas mendorong restorannya menyediakan menu lain sama ada ayam, sotong atau udang.

“Namun begitu, restoran saya masih menyediakan menu asam pedas ikan seperti tenggiri, tilapia, jenahak, merah, pari, parang, kembung dan selar untuk hidangan tengah hari hingga makan malam,” katanya.

Menerusi harga bermula RM8 hingga RM15.50, anda boleh menikmati satu set asam pedas Belanga Ibu merangkumi nasi putih, ulam-ulaman, sambal belacan dan satu mangkuk asam pedas yang dihidangkan dalam ‘claypot.’

Mohamad Hafiz yang dibantu ayah dan ibunya berkata, lebih 30 hidangan terjual setiap hari dan pada hujung minggu boleh mencecah 50 hidangan kerana ramai pelancong dari luar Melaka termasuk Kuala Lumpur dan Singapura yang singgah di restorannya.

Selain hidangan asam pedas, Restoran Belanga Ibu juga menyediakan sarapan pagi, hidangan nasi campur, masakan Barat dan sate resipi warisan keluarga.

Restoran Belanga Ibu beroperasi setiap hari kecuali Isnin dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 6:40 AM