KARI kepala ikan DPG punyai kelainan tersendiri.
KARI kepala ikan DPG punyai kelainan tersendiri.
MASAKAN kengsom dengan rasa tersendiri cukup menyelerakan.
MASAKAN kengsom dengan rasa tersendiri cukup menyelerakan.
MENU istimewa menanti pengunjung di De Pauh Garden.
MENU istimewa menanti pengunjung di De Pauh Garden.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin


Tidak keterlaluan jika dikatakan restoran dan kafe De Pauh Garden (DPG) di Permatang Pauh, Pulau Pinang, lokasi terbaik bagi setiap jenis masakan atau hidangan ditawarkan.

Ini kerana bagi memastikan setiap makanan disediakan menepati kehendak dan cita rasa pelanggan, pemiliknya sanggup membuat rombongan bersama cef untuk meninjau dan menikmati makanan terbaik di sesuatu tempat sebelum membawa rasa dan keistimewaan sama ke DPG.

Malah, mereka bukan saja menjelajah di dalam negara, sebaliknya sanggup ke Thailand dan Indonesia untuk membawa pulang hasil terbaik dan merealisasikannya kepada pelanggan DPG.

Pemiliknya Marzita Abu Bakar berkata, konsep itu dilakukan bagi memastikan setiap hidangan disediakan di restorannya memenuhi kehendak dan selera pelanggan.

“Pihak pengurusan mengambil inisiatif bersama cef pergi ke kedai makan atau restoran yang mendapat sambutan dari segi makanan utamanya dan ia tidak terhad di dalam negara.

“Misalnya, jika restoran itu terkenal dengan sate, kami ke sana untuk makan dan cuba menyediakan sate dengan rasa sama di DPG. Malah, kami ke Sumatera untuk merasai sambal dan Thailand untuk membawa rasa hidangan terbaik dari sana ke sini, tetapi dengan rasa lebih sedap dan berbeza daripada makanan itu,” katanya.

Marzita berkata, mereka bukan meniru atau mencuri idea, sebaliknya mahu menambah baik dan mengekalkan tahap kelazatan setiap makanan yang dihidangkan.

Beliau berkata, selain memastikan setiap makanan ditambah baik, pihaknya turut menyingkirkan menu yang tidak menepati kehendak pelanggan mengikut keadaan semasa, misalnya nasi lemak DPG.

Menurutnya, dengan mengamalkan konsep sedemikian, DPG berjaya memikat hati pelanggan apabila mengetengahkan menu utama yang makin mendapat sambutan dan antara menu terbaru ialah masakan kengsom.

“Masakan tiga rasa, merah, pedas dan banyak lagi sudah biasa, jadi kami membawa hidangan ala Thai iaitu kengsom yang juga dipanggil asam pedas Siam yang jauh berbeza dengan rasa asam pedas di restoran sedia ada.

“Rasanya yang masam manis dan kekuningan dimasak bersama ikan seperti ikan kembung, jenahak dan siakap pasti memberi kelainan apabila dimasak chef khas yang berasal dari Thailand.

“Antara bahan digunakan ialah serai, bawang putih, cili padi, belacan dan banyak lagi, manakala tiga udang besar turut dihidangkan bersama bagi menambah rasa manis dalam penyediaan kengsom yang mengambil masa hanya 10 minit,” katanya.

Marzita berkata, bagi penggemar kari kepala ikan, DPG menyediakan set yang turut dilengkapi ayam goreng, sambal sotong, telur masin, telur dadar, sayur campur, ulaman dan sambal, nasi putih serta jus buah-buahan.

Beliau berkata, pelanggan boleh memilih sama ada menikmati kari kepala ikan sahaja atau memilih hidangan secara set yang sesuai dinikmati enam orang pada harga RM180.

Menurutnya, menu istimewa berbentuk tradisional seperti claypot asam pedas, kari ikan, asam pindang dan singgang dijual pada harga bermula RM7.90 hingga RM8.90 yang dimasak menggunakan ikan temenung (kembung), pari, bawal dan tongkol.

“Bufet makanan tengah hari bermula jam 10.30 pagi hingga 4 petang disediakan dengan hidangan nasi campur bersama beraneka lauk-pauk dan ulam-ulaman. Sos sambal istimewa De Pauh dengan rasa pedas-pedas manis cukup menambat hati bagi mereka yang menikmati ikan bakar.

“Makanan ala barat seperti DPG Meat Ball iaitu bebola daging enak dibuat dari ‘prime beef’ bersama ‘Futtichini Bolognese’ dan DPG Baked Salmon disediakan aneka jenis sos pilihan didapati pada harga RM13.90 dan RM26.90.

“DPG Cheese Burger Special turut membangkitkan rasa teruja peminat burger dan kami menyediakan ais kacang serta cendol special pulut sebagai pencuci mulut,” katanya.

DPG diurus tadbir di bawah pengurusan Syarikat Tinta Jaya Mandiri Sdn Bhd dan beroperasi pada 9 Januari 2012 di tanah seluas 1.2 hektar menerusi konsep `restoran dalam taman’ yang dikunjungi lebih 1,000 pelanggan setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 9:11 AM