CANANGA odorata atau disebut kenanga.
CANANGA odorata atau disebut kenanga.
Intan Mas Ayu Shahimi


Setiap kali ada kenduri kahwin di kampung, pasti sibuk saudara dan jiran menyediakan bunga rampai. Tradisi lama ini jarang dilupakan kerana dipercayai mampu menyerlahkan aura dan pesona raja sehari.

Antara kuntuman wajib dalam penyediaan bunga rampai ialah bunga kenanga. Haruman daripada spesies Cananga odorata ini memang sudah lama popular dalam kalangan pengeluar minyak wangi dan produk aromaterapi. Selain dipanggil kenanga, bunga harum semerbak ini turut dikenali sebagai ylang-ylang.

Dari sudut kosmetik, minyak ylang-ylang mempunyai khasiat mengurangkan garis penuaan, menggalakkan pertumbuhan sel baru, merawat jerawat, mengatasi masalah kulit berminyak serta mengubati keradangan. Sementara masyarakat Jawa di Indonesia pula banyak menggunakan bunga kenanga kering untuk merawat malaria, manakala pes segar untuk merawat asma.

1. Menghilangkan bau badan

Kulit batang kenanga elok direbus dan diminum. Tetapi ada juga kaedah lain yang boleh dipraktikkan untuk menghilangkan bau badan. Caranya, ambil dua genggam bunga kenanga yang dibersihkan dan ramas sehingga hancur.

Masukkan ke dalam sebaldi air dan terus ramas sehingga aromanya sebati. Gunakan air berkenaan sebagai bilasan terakhir selepas mandi. Terus ulangi rutin sama untuk beberapa hari sehingga bau badan menjadi wangi dan harum.

2. Merawat malaria dan asma

Wabak malaria mungkin kerap dikaitkan dengan mangsa di kawasan pedalaman, namun asma adalah penyakit jangka panjang atau yang mengganggu saluran pernafasan individu. Ada petua yang menyebut kedua-dua penyakit ini boleh dirawat dengan minum teh kenanga.

Antara kaedah yang popular adalah dengan mencelur tiga kuntum kenanga dalam semangkuk air panas dan dibiar sejuk. Ramuan ini boleh diminum dua kali sehari, pada pagi dan petang.

3. Meredakan sakit kepala

Timbunan kerja di pejabat, tidak cukup rehat dan tekanan menyebabkan sakit kepala. Cuba hiris seinci halia dan lima kuntum bunga kenanga yang dibersihkan. Rebus hirisan dengan dua gelas air sehingga isipadunya berkurang menjadi segelas dan airnya diminum.

4. Pemulihan selepas bersalin

Banyak petua tradisi yang kerap dipesan orang dulu-dulu untuk menaikkan seri dan kecergasan wanita selepas melahirkan anak. Kebanyakan minuman yang dicadangkan biasanya berasaskan rempah dan mungkin sukar ditelan.

Apa kata campurkan segenggam bunga kenanga muda dengan tujuh kerat akar serapat dan tujuh kerat kunyit yang dilumat. Tuangkan ramuan dengan air panas dan tapis sebelum minum. Amalkan petua ini tiga kali sehari untuk kesan pemulihan yang memberangsangkan.

5. Merawat kudis

Cuti sekolah selalunya menjadi tempoh penerokaan yang paling panjang untuk anak bersuka ria di kampung halaman. Bermain lumpur, mengorek pasir, berkaki ayam, berseronok dengan kawan kadang-kadang membuatkan mereka lupa kepada aspek kebersihan diri.

Pasti timbul kudis kecil di kaki dan tangan. Sebagai rawatan alternatif, ambil 15 kuntum bunga kenanga dan ditumbuk halus. Pastikan lesung yang digunakan bersih. Kemudian tambah minyak kelapa dan panaskan ramuan sebentar menggunakan periuk kecil. Minyak boleh disapu pada kudis selepas sejuk.

Selain petua diatas, bunga kenanga juga dikatakan berpotensi mengatasi masalah mati pucuk. Biji bunga boleh digunakan untuk merawat sakit perut dan daunnya pula berupaya melegakan gatal kulit serta bisul.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:26 AM