TANAMAN gurun tahan lasak walaupun kekurangan air, cuaca panas atau penjagaan tidak menentu.
TANAMAN gurun tahan lasak walaupun kekurangan air, cuaca panas atau penjagaan tidak menentu.

Salam deko. Pastinya ramai warga kota yang sudah kembali bekerja bercuti sempena Tahun Baru Cina. Bercerita berkenaan warga kota khususnya, hari ini saya berminat mengulas berkenan sejenis tanaman liar yang kini menjadi elemen hiasan dalaman di kebanyakan kediaman di bandar. Ini kerana tinggal di apartmen atau kondominium sedikit pun tidak menghalang kita menampilkan suasana segar berasaskan tumbuhan.

Sesetengah daripada kita menghiasi ruang dalam kediaman dengan beberapa jenis tumbuhan renek, namun kesibukan tugas membuatkan kita terlepas pandang hingga tumbuhan hidup renek itu akhirnya mati kerana kurang penjagaan. Lalu muncul alternatif baru berkenaan satu jenis tumbuhan yang mudah dijaga dan kini semakin menjadi pilihan warga kita untuk meletakkanya di sudut hiasan di dalam rumah.

Jenis tanaman hiasan yang bakal saya kupas kali ini mempunyai ciri-ciri khas termasuk duri yang tajam pada setiap batangnya. Apalagi kalau bukan kaktus. Tapi ia bukanlah kaktus yang besar meninggi seperti

yang selalu anda lihat di dalam filem koboi, sebaliknya hanya kaktus mini. Kaktus mini selalunya bersaiz kecil ditanam di dalam pasu kecil dengan pelbagai warna dan bentuk yang comel serta menarik.

Tanaman ini juga sangat diminati kerana mudah dijaga. Ia antara tanaman gurun pasir yang sangat tahan lasak meskipun dalam kondisi kekurangan air atau cuaca panas atau penjagaan yang tidak menentu. Nama kaktus berasal dari perkataan Yunani yakni ‘kaktos,’ yang membawa maksud tanaman berduri. Pada umumnya, tanaman kaktus berasal dan tersebar pada daerah tandus seperti Amerika Selatan dan Mexico. Kini tend menanam kaktus mini menular hingga ke Asia dan menghiasi sebahagian kediaman.

Kaktus mini begitu sesuai diletakkan di atas para dalam keadaan ‘berbaris’ sedondon atau pelbagai saiz. Ia juga sesuai menghiasi sudut hiasan yang kecil bagi menghasilkan sentuhan ringkas, tapi nampak menarik.

Kaktus mini sebenarnya kurang sesuai diletakkan pada ruang hiasan yang besar, luas dan terbuka kerana saiznya yang kecil kurang daya mampu menarik perhatian. Namun bagi anda yang mempunyai anak kecil, seeloknya kaktus mini diletakkan pada bahagian yang sedikit tinggi supaya tidak mudah dicapai. Ada kalanya duri-duri halus pada kaktus mini itu boleh mencederakan anak atau memberi alahan kepada si kecil. Cuba hiasi ruang kecil anda dengan kaktus mini dan rasakan perbezaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:03 AM