AIR bertindak sebagai pendingin aktif.
AIR bertindak sebagai pendingin aktif.
ORNAMEN rusa di tepi kolam air berpancuran menambah kelainan.
ORNAMEN rusa di tepi kolam air berpancuran menambah kelainan.
SUASANA bagaikan hidup dengan susun letak ornamen haiwan dengan tanaman hijau.
SUASANA bagaikan hidup dengan susun letak ornamen haiwan dengan tanaman hijau.
TANAMAN air, hijau dan ornamen cendawan ringkas di sudut kolam air cukup membuatkan suasana tenang.
TANAMAN air, hijau dan ornamen cendawan ringkas di sudut kolam air cukup membuatkan suasana tenang.
PENGENALAN hidupan secara tidak langsung kepada si kecil anda.
PENGENALAN hidupan secara tidak langsung kepada si kecil anda.
LANDSKAP yang dibina juga perlu memenuhi cita rasa dan kesesuaian.
LANDSKAP yang dibina juga perlu memenuhi cita rasa dan kesesuaian.
Hartini Mohd Nawi


Masih dalam mood raya kerana ramai masih sibuk mengunjungi kediaman sanak-saudara dan jiran tetangga atau mengadakan rumah terbuka.

Bersantai pula di luar rumah yang diberi sentuhan menarik dengan pelbagai pilihan tanaman hingga ada yang berminat membawa pulang benih atau anak pokok.

Itu cerita kediaman yang mempunyai ruang untuk menzahirkan taman. Di sini bermulanya kreativiti bagi kediaman ruang terhad supaya taman eksklusif benar-benar di depan mata.

Apatah lagi idea mencipta taman sering dikongsikan dalam media sosial dan ia tentunya membantu anda menceduk sebanyak mungkin panduan sesuai.

Pengurus Katsura Garden Centre Lee Yoon Choon berkata, sekali pun anda tiada peruntukan besar untuk taman, ada pilihan mewujudkan taman menarik mengikut kemampuan.

“Cukup sekadar kolam air berpancuran mini yang diletakkan pada sudut tertentu dengan susun letak beberapa tanaman air atau tahan lasak selain ornamen haiwan seperti kura-kura, arnab atau katak.

“Ia menjadi pelengkap dalam menambah karakter landskap itu sendiri,” katanya.

Ornamen tumbuhan seperti cendawan dan batu-batuan turut menambah variasi di taman dan menginspirasikan suasana landskap yang anda impikan.

Anda yang menggemari suasana desa semestinya landskap yang tampil dengan ornamen haiwan sangat penting untuk menghidupkan persekitaran itu.

Ia mungkin menjadi elemen pembelajaran dan pengenalan hidupan secara tidak langsung kepada si kecil anda yang belum mengenali itik, bangau atau katak.

Senario alam pastinya tampil lebih semula jadi dengan kehadiran beberapa ornamen burung bertenggek di dahan pokok.

“Bagi tanaman pula, jika masih ada ruang pastikan ia disusun mengikut lapisan ketinggian dan semuanya dalam pasu.

“Pokok yang paling tinggi perlu diletakkan di bahagian belakang, sederhana tinggi di tengah dan renek di hadapan,” katanya.

Lee berkata, ia bukan saja bagi membolehkan semua tanaman itu kelihatan jelas sebaik dipandang, bahkan jika mengeluarkan bunga panorama menarik dapat anda saksikan.

“Anda juga tidak perlu melengkapkan taman kecil atau mini itu dengan elemen air seperti yang saya nyatakan tadi.

“Ia bukan saja menarik pada pandangan mata, malah bunyi percikan air mampu mencipta suatu suasana yang nyaman dan menenangkan,” katanya.

Kolam air ringkas sudah memadai dan anda bebas menggunakan bahan-bahan yang siap dijual atau membina sendiri kreativiti mengikut kemampuan.

Penghasilan air menerusi teknik air jatuhan, air berbuak (bubbling water), air mancur (spouting water) dan air pancuran berturus pula antara sebahagian daripada elemen yang mewarnai landskap.

Berperanan sebagai pendingin aktif dalam menyederhanakan kawasan persekitaran dan mengilhamkan kedamaian semula jadi.

Tekstur pula memberi bentuk dan kesan mendalam bagi sebuah taman. Tanaman berdaun yang bertekstur halus seperti paku-pakis atau ati-ati pastinya menggamit tetamu.

Bagi menghidupkan kombinasi di taman, tanaman berdaun runcing dan rumput hiasan adalah cara terbaik, tetapi jika terlalu banyak pokok yang ada tekstur sama, ia pasti membosankan.

Warna turut menjadi elemen penting di taman. Lakukan sedikit eksperimen bagi menentukan apa yang anda gemari.

Pastikan landskap yang anda bina tahan dan mudah diselenggarakan. Misalnya, pilih pokok yang bukan daripada jenis cepat mati atau terlalu manja untuk dijaga.

Katsura Garden Centre terletak di Lot 18, Kawasan Landskap & Nursery Rezad, Jabatan Hutan Damansara, Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:03 AM