Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini melepas dan membebaskan sebuah syarikat pembekal daging sejuk beku bersama pengurus stor dan akauntannya, terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM12.9 juta, antara Oktober 2018 hingga Disember 2020.

Keputusan itu dibuat Hakim Fatimah Zahari selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, pengurus stor, Chong Kim Kuang, 50, dan akauntan, Ng Yee Xin, 39.

Bagaimanapun, pertuduhan sama terhadap seorang lagi tertuduh membabitkan pengarah syarikat itu, Tan Siew Huak, 44, yang masih bebas, tetap diteruskan sehingga mendapat arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

Pendakwaan menarik balik kesemua 12 pertuduhan terhadap tiga tertuduh berkenaan selepas semua mereka membayar kompaun keseluruhan yang bernilai RM1.5 juta.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh masih berhadapan satu lagi kes membabitkan 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu serta tanpa kelulusan untuk membekalkan daging sejuk beku, pada awal Disember 2021, yang sedang menjalani perbicaraan.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat dan dua tertuduh berkenaan serta seorang lagi yang masih bebas, didakwa menerima wang tunai masing-masing berjumlah RM6.75 juta, RM2.78 juta dan RM3.37 juta membabitkan nilai keseluruhan RM12.9 juta, yang merupakan hasil aktiviti haram menerusi akaun bank milik syarikat LY Frozen Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Senai, Kulai dan Taman Molek, di sini, antara Oktober 2018 hingga Disember 2020.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam, Zamri Idrus.

Chong Kim Kuang, (kanan) dan Ng Yee Xin, 37, (kiri) dibebas dan dilepaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan pengubahan wang haram terhadap mereka dan Syarikat LY Frozen Sdn. Bhd di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Chong Kim Kuang, (kanan) dan Ng Yee Xin, 37, (kiri) dibebas dan dilepaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan pengubahan wang haram terhadap mereka dan Syarikat LY Frozen Sdn. Bhd di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Dalam prosiding sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), memohon mahkamah memberi tarikh sebutan baharu bagi menentukan status seorang lagi tertuduh membabitkan Siew Huak, 44, seorang Pengarah LY Frozen Food, yang masih bebas.

Ia membabitkan kes 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu serta tanpa kelulusan untuk membekalkan daging sejuk beku, Disember 2021 lalu.

Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Mohd Sophian Zakaria membuat permohonan itu selepas mendapat representasi peguam kes berkenaan.

"Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan semula yang singkat berikutan representasi peguam tertuduh yang mahu tahu apa status seorang tertuduh, Siew Huak, yang kini masih bebas.

"Oleh itu, saya perlu mendapatkan keputusan Jabatan Peguam Negara mengenai status tertuduh sebelum meneruskan prosiding kes," katanya

Hakim kemudian menetapkan 22 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula bagi menentukan status Siew Huak.

Bagi pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu serta tanpa kelulusan untuk membekalkan daging sejuk beku, tertuduh membabitkan Syarikat LY Frozen Food, pengarahnya Chee Keong, dan Siew Huak, yang masih bebas serta pengurus, Chong Kim Kuang, 48, yang mengaku tidak bersalah, ketika pendakwaan kes itu pada 9 Februari 2021.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat dan dua tertuduh berkenaan serta seorang lagi yang masih bebas didakwa menggunakan, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua syarikat pembekal dari Australia selain menggunakan logo halal palsu serta menggunakan logo halal tanpa kelulusan daripada badan persijilan halal Australia.

Pada 2 Disember 2021 lalu, media melaporkan mengenai kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel berkenaan kemudian membungkus semula daging itu menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia sebelum ia terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, di sini.

Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.

Ia membabitkan rampasan bernilai lebih kurang RM 6.47 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 12:24 PM