RANGKAIAN penjagaan badan bak berada di spa.
RANGKAIAN penjagaan badan bak berada di spa.
HARUMAN mempesona ketika musim panas.
HARUMAN mempesona ketika musim panas.
KEBAIKAN minyak bijian digunakan di dalam rangkaian penjagaan wajah.
KEBAIKAN minyak bijian digunakan di dalam rangkaian penjagaan wajah.
DR Terry menerangkan mengenai kebaikan tiga minyak bijian yang popular dalam dunia kecantikan.
DR Terry menerangkan mengenai kebaikan tiga minyak bijian yang popular dalam dunia kecantikan.
ARNAUD memastikan jenama berkenaan memenuhi cita rasa pengguna.
ARNAUD memastikan jenama berkenaan memenuhi cita rasa pengguna.
VANDA menyarankan cara mudah menjaga kecantikan kulit dan ketenangan minda melalui mandian.
VANDA menyarankan cara mudah menjaga kecantikan kulit dan ketenangan minda melalui mandian.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

(Yang mengikuti rombongan media ke Ubud, Bali)

Sejak zaman dulu, penggunaan bahan semula jadi seperti madu, kelapa, tanah liat dan minyak bijian sudah popular dalam amalan penjagaan kecantikan masyarakat secara turun-temurun.

Memahami kebaikan bahan yang didapati dari alam semula jadi itu, The Body Shop mengambil inisiatif dengan memberi pengalaman menarik dalam penjagaan kecantikan melalui pilihan formula yang terkenal dan terbaik dari seluruh dunia.

Bermula daripada penjagaan badan dan wajah hinggalah wangian, jenama berkenaan tidak pernah gagal menampilkan formulanya yang terbaru.

Pada Julai lalu, sekali lagi jenama berkenaan menampilkan idea dan kajian terbarunya pada majlis pelancarannya di Ubud, Bali.

Majlis diadakan di Hanging Gardens yang dikelilingi dengan kehijauan alam sekitar mendamaikan itu turut dihadiri wakil media tempatan dan antarabangsa.

Pada majlis sama, turut hadir Pengurus Besar The Body Shop International Arnaud Jeanteur; Pakar Penjagaan Wajah Global The Body Shop, Dr Terry Loong; Pakar rawatan wajah dan penjagaan badan The Body Shop, Vanda Serrador dan ahli botani kecantikan The Body Shop, Jennifer Hirsch.

Manfaat minyak bijian

Menurut Arnaud, jenama berkenaan sentiasa memastikan kualiti bahan yang digunakan dari seluruh dunia yang mempunyai manfaat kepada pengguna.

“Kami banyak mengambil inspirasi daripada rejim kecantikan yang pernah diamalkan pada zaman dulu kerana sedar mengenai potensi dan kebaikannya.

“Misalnya, khasiat yang terdapat di dalam minyak bijian. Biarpun ia agak janggal, kelebihan yang dimiliki bahan semula jadi ini tidak boleh dilupakan,” katanya.

Ujarnya, selepas kumpulan penyelidik menemui kebaikan tiga minyak bijian dari Mesir, Chile dan China, jenama berkenaan membuat keputusan untuk mencipta rangkaian penjagaan wajah yang boleh membantu menambah nutrien diperlukan kulit wajah.

Minyak biji jintan hitam yang diambil dari Lembah Sungai Nil, Mesir diketahui mengandungi bahan antioksidan yang baik untuk penjagaan kulit anjal.

Minyak biji bunga camellia dari China diperkaya dengan asid oleik bagi membantu melembapkan kulit manakala minyak biji bunga mawar pula mengandungi omega-3 dan 6.

Semua bahan berasaskan alam semula jadi berkenaan boleh diperoleh menerusi penggunaan rangkaian penjagaan wajahnya iaitu losen harian Intensely Revitalising Essence, Facial Oil dan krim muka.

Sementara itu, Dr Terry menambah, banyak sebab minyak bijian digemari untuk digunakan dalam produk penjagaan wajah pada masa kini.

“Bukan hanya disebabkan khasiat, tekstur yang lebih ringan dan mudah menyerap jauh ke dalam kulit saja malah, ia juga mudah menembusi kulit secara mendalam jika disapu dengan kaedah urutan.

“Khasiat minyak bijian memang tidak dapat disangkal dalam dunia kecantikan. Kebanyakan pengguna juga faham mengenai manfaatnya yang tidak menyebabkan kulit berminyak.

“Ini kerana minyak bijian membantu memberikan kelembutan dan kehalusan kepada tekstur kulit tanpa meninggalkan rasa melekit ataupun menyebabkan iritasi,” katanya.

Bahan unik menenangkan

Percaya dengan kebijaksanaan idea dan manfaat bahan semula jadi yang digunakan sejak zaman purba, produk penjagaan badan, Spa of the World juga tidak ketinggalan menerima pembaharuan.

Ditampilkan bersama bungkusan dan rekaan botol yang mewah, ia memberikan pengalaman menakjubkan dan menenangkan seperti berada di spa melalui bahan terpilih yang terdapat dalam rangkaian penjagaan badan berkenaan.

Formula yang diketengahkan disempurnakan dengan kebijaksanaan masyarakat terdahulu menggunakan manfaat adunan bahan semula jadi, tekstur yang lebih halus bersama haruman yang menarik perhatian.

Bermula dengan membersih dan menanggalkan kotoran serta sel kulit mati hinggalah melembutkan kulit menerusi penggunaan bahan sentalan dan krim pastinya memberikan hasil memuaskan.

African Ximenia Scrub, Himalayan Charcoal Body Clay, Milk and Honey Bath, French Lavender Massage Oil dan Japanese Camellia Cream adalah rangkaian lengkap penjagaan kulit badan yang boleh dicuba.

Ujar Vanda, rangkaian penjagaan badan berkenaan memberikan pengalaman seperti berkunjung ke spa kerana ia membantu memberikan ketenangan, kesegaran dan keselesaan kepada badan yang letih.

“Manjakan diri dengan produk terbaik adalah rutin harian saya setiap hari. Saya percaya ia sangat penting untuk berinteraksi dengan tubuh dan minda dengan teknik yang betul.

“Tukar sesi mandian biasa di rumah seperti berada di spa dengan bahan yang berkualiti bersama haruman menyegarkan dan menenangkan yang disediakan dalam bungkusan mewah sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

“Cara mudah ini disarankan kepada kebanyakan pelanggan saya untuk membantu menyingkirkan tekanan harian yang dialami bagi menyegarkan serta melupakan masalah yang dihadapi,” katanya.

Panaskan sedikit bilik mandi dengan lilin kerana kemungkinan suhu badan akan menurun ketika sesi rawatan. Pasangkan alunan muzik yang digemari dan bersedia untuk menenangkan badan serta minda.

Merentasi Afrika Selatan, terdapat pokok renek yang dikenali dengan nama Ximenia, tumbuh segar di kawasan hutan serta savanah. Penduduk di sana menganggapnya sebagai ‘pokok kehidupan’ kerana ia kaya dengan asid oleik, sejenis minyak yang membantu melindungi kekeringan kulit yang berpunca daripada faktor alam sekitar seperti panas atau angin.

Menariknya, minyak berkenaan juga membantu meningkatkan dan menyokong fungsi halangan pada kulit secara semula jadi sekali gus meninggalkan kulit yang lebih lembut.

Bagi memberikan pengalaman memiliki kulit yang lembut, manfaat pokok berkenaan boleh dirasai dengan penggunaan bahan sentalan, African Ximenia Scrub.

Selain itu, ada juga bahan sentalan yang mengandungi garam dari Laut Mati yang dikenali kaya dengan kandungan mineral seperti magnesium, kalsium, potasium dan bromin, berfungsi sebagai bahan pengelupasan untuk menanggalkan kotoran serta kulit mati.

Sementara itu, Jennifer berkata, jenama berkenaan turut menyedari dan mengambil kebaikan arang serta tanah liat yang digunakan pada kulit badan.

Ia adalah rahsia kecantikan yang popular dalam kalangan masyarakat Asia bagi membantu menyingkirkan kotoran yang menyebabkan toksin pada badan.

“Arang mengeluarkan ion negatif yang mengakibatkan toksin dicas secara positif dan menarik keluar kotoran dari kulit. Gabungan arang bersama tanah liat putih (kaolin) memberi kuasa kepada pembersihan kulit secara menyeluruh.

“Justeru, kami menggunakan manfaat yang terdapat pada dua bahan ini dalam pupur badan bagi menyingkirkan kotoran secara lebih mendalam,” katanya.

Ujarnya, bagi mendapatkan kesan yang diinginkan pada kulit, selepas membersihkan badan daripada sapuan Himalayan Charcoal Body Clay, berus kulit menggunakan Body Mask Brush dan biarkan ia kering dalam tempoh 10 minit sebelum dicuci menggunakan air suam.

Ratu Mesir, Cleopatra sangat mementingkan penampilan dan gemar mencampurkan susu serta madu ke dalam mandian bagi melembutkan dan menganjalkan kulit.

Pada masa sama, penggunaan sabun Egyptian Milk and Honey Bath bersama siraman air suam membantu memberikan ketenangan kepada badan.

Selesai saja sesi mandian, urut lembut keseluruhan badan menggunakan minyak urutan bunga lavender dari Perancis atau serai sebagai pelengkap untuk memberi ketenangan kepada tubuh serta minda.

Lembapan badan juga tidak boleh dilupakan. Bagi mengekalkan lembapan, sapuan Japanese Camellia Cream atau Hawaiian Kukui Cream mungkin membantu melembutkan kulit.

Wangian mempesona

Masa terbaik untuk melakukan pelbagai aktiviti luar dan lasak adalah apabila tibanya musim panas. Ketika ini, pelbagai aktiviti menarik seperti bermain air di tepian pantai atau melancong bersama teman pasti menyeronokkan.

Lebih menyeronokkan apabila musim panas yang dilalui disempurnakan dengan semburan haruman yang mempesonakan. Tanpa risau dengan bau peluh, bawa diri anda bak berada di Itali dengan semburan EDT Italian Summer Fig.

Sesuai dengan namanya, bahan yang digunakan seperti buah ara yang manis dan berjus juga diambil dari daerah selatan Itali, Puglia. Bertambah segar apabila wangian kemanisan buah fig digabung bersama keharmonian dedaun hijau dan ketenangan nota kayuan.

Bersama bungkusan dan rekaan botol yang menarik, semburan wangian EDT Japanese Cherry Blossom juga tidak kurang hebatnya. Nota haruman buah-buahan yang dirasai pada setiap semburan pastinya membawa diri jauh terbang ke Tokyo, Jepun untuk merasai suasana pemandangan bunga sakura yang mekar di taman.

Gabungan haruman lembut bunga sakura bersama kemanisan bunga magnolia dan kayu hinoki mencipta penampilan yang anggun kepada si pemakai.

Bagi yang menggemari wangian yang segar, semburan haruman EDT Indian Night Jasmine tidak mengecewakan. Kombinasi bunga jasmin dan kayu cendana membantu mewujudkan suasana haruman yang menyenangkan.

Wangian berempah, sejuk dan bungaan boleh diperoleh daripada semburan EDT Atlas Mountain Rose manakala EDT Fijian Water Lotus memberikan suasana sofistikated bak berada di tepian laut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 8:37 AM