Mohd Shahrul Mat Amin jadi sandaran TSG. FOTO File NSTP.
Mohd Shahrul Mat Amin jadi sandaran TSG. FOTO File NSTP.
BERNAMA

PELUMBA pasukan berbasikal benua negara, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Irwandy Lasek beraksi cemerlang apabila menamatkan peringkat pertama saingan Jelajah Thailand di tempat kedua hari ini.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan pelumba kelahiran Kemaman itu menyarung jersi ungu selaku pelumba terbaik ASEAN pada peringkat pertama.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, kejayaan itu secara tidak langsung akan menyuntik semangat kepada pasukan TSG pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 dijadual bermula 6 April ini.

"Irwandy dipilih menggantikan Metkel dua hari sebelum jelajah berkenaan bermula disebabkan masalah visa dan ia sesuatu yang amat kami kesali.

"Bagaimanapun, dia (Irwandy) ternyata tidak mensia-siakan peluang dan membalas kepercayaan yang diberi dengan menghadiahkan kedudukan tempat kedua kepada TSG," katanya.

Nasiruddin berkata lebih 20 pasukan dari seluruh dunia berentap pada Jelajah Thailand itu menjadikan saingan agak sengit terutama daripada pasukan ternama seperti Vini Fantini, Itali; St.George, Australia; Illuminate, Amerika Syarikat dan Vino Astana, Kazakhstan.

Namun, beliau yakin TSG mampu mencapai sasaran ditetapkan dengan meraih kemenangan podium dalam dua peringkat perlumbaan serta kedudukan tiga pasukan teratas keseluruhan.

"Kita masih ada baki lima peringkat perlu dilalui dan cabaran sangat besar kerana laluannya bergunung-ganang.

"Misalnya, peringkat ketiga kita perlu menamatkan pendakian keseluruhan 4,000 meter yang akan berlangsung Rabu ini," katanya.

Selain Irwandy, lima lagi pelumba TSG pada perlumbaan Jelajah Thailand itu ialah Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Umardi Rosdi, Afiq Huznie Othman, Goh Choon Huat dan Maral Erdene.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 11:28 PM