ANGGOTA polis mengangkat sumpah di Ibu Pejabat Polis Nasional Filipina di Quezon dekat Manila. - Reuters
ANGGOTA polis mengangkat sumpah di Ibu Pejabat Polis Nasional Filipina di Quezon dekat Manila. - Reuters
Agensi

Manila: Polis Filipina membubarkan semua unit antidadah dan berhenti daripada menyertai operasi narkotik selepas beberapa anggotanya menggunakan kempen berkenaan untuk menculik dan membunuh ahli perniagaan Korea Selatan.

Ketua Polis Filipina, Ronald Dela Rosa semalam berkata, dia melancarkan kempen besar-besaran membersihkan pasukan itu daripada anggota yang terbabit dengan jenayah.

Menurutnya, seramai 170,000 anggota polis di seluruh negara tidak akan membuat serbuan atau menangkap suspek dadah.

Bagaimanapun, kempen memerangi dadah akan diteruskan agensi penguatkuasaan yang lain.

“Kepada semua anggota yang terbabit dalam jenayah, bersedialah. Kami tidak lagi memerangi dadah tetapi kini kami memerangi anggota yang melakukan jenayah.

“Kami akan membersihkan nama baik kami,” katanya.

Polis Filipina dikecam hebat selepas beberapa anggotanya menculik bagi mendapatkan wang tebusan dan membunuh seorang ahli perniagaan Korea Selatan, Jee Ick-joo pada Oktober tahun lalu.

Mangsa diculik di rumahnya oleh sekumpulan anggota polis yang berpura-pura membuat serbuan dadah sebelum dibunuh di ibu pejabat polis di Manila.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang berang dengan kejadian itu turut mengakui rasuah berleluasa dalam pasukan polis negara itu.

Duterte juga berikrar untuk membersihkan pasukan polis dan menegaskan kempen memerangi dadah diteruskan hingga penggal pemerintahannya tamat.

“Anggota polis yang paling korup. Masalah ini sudah berleluasa hingga ke teras pasukan itu,” katanya.

Duterte memberitahu, hampir 40 peratus anggota polis di negara itu terbabit dalam aktiviti yang melanggar undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 5:37 AM