Mad Isa bersama isteri di pusat pemindahan sementara di Dewan Inderawati. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Mad Isa bersama isteri di pusat pemindahan sementara di Dewan Inderawati. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Beruas: Seorang wanita terpaksa menolak kerusi roda suaminya sejauh dua kilometer ke rumah saudara dalam keadaan hujan lebat selepas kediaman mereka di Kampung Kilang, dekat sini, dinaiki air.

Mad Isa Pin, 72, dan isterinya, Bunga Osman, 60, antara 123 mangsa banjir dari beberapa kampung di Mukim Beruas yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Inderawati selepas kediaman dinaiki air pada paras lebih satu meter sejak semalam.

Mad Isa berkata, ketika banjir hanya mereka berdua berada di rumah dan dia terpaksa menggunakan kerusi roda kerana tidak mampu berjalan jauh akibat sakit lutut.

"Ketika itu air sudah naik jadi kami bimbang keadaan lebih teruk seperti tahun lalu.

"Kami terus mengambil keputusan keluar dalam hujan lebat kira-kira jam 7 malam dan isteri terpaksa menolak saya dengan kerusi roda sejauh dua kilometer ke rumah anak saudara di Taman Anggerik Permai," katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Dia berkata, isterinya sempat menyimpan barang berharga di tempat selamat sebelum bergegas ke rumah anak saudara.

Katanya, rumah anak saudaranya turut dinaiki air dan mereka dibantu pasukan penyelamat dan dipindahkan ke pusat pemindahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 1:53 PM