ASMARI Subar melihat barang-barang di kedai makanannya yang ditenggelami air banjir akibat hujan lebat di Kampung Baru, Kilometer 12, Jalan Sintok.
ASMARI Subar melihat barang-barang di kedai makanannya yang ditenggelami air banjir akibat hujan lebat di Kampung Baru, Kilometer 12, Jalan Sintok.
Oleh Zuliaty Zulkifli

Sintok: Dua puluh lima mangsa membabitkan lapan keluarga di Kampung Baru, dekat sini, dipindahkan berikutan rumah mereka banjir kilat.

Selain itu, hujan lebat yang melanda di beberapa kawasan termasuk Kubang Pasu menyebabkan lebuh raya di Changlun, di sini, turut ditenggelami air, sekitar 3 petang ini.

Berikutan itu, pengguna terpaksa berpatah balik untuk mencari laluan lain berikutan jalan utama di Kampung Jenalik dinaiki air.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kubang Pasu, Kamalruzaman Kasa, berkata hanya 25 mangsa dipindahkan ke rumah saudara mara berhampiran berikutan banjir kilat.

"Sehingga ini, tiada pusat pemindahan dibuka dan air kembali surut kira-kira 11 malam tadi, " katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 1:11 AM