Tiada unsur jenayah dalam kejadian anggota polis yang ditemui maut di bengkel senjata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, semalam.
Tiada unsur jenayah dalam kejadian anggota polis yang ditemui maut di bengkel senjata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian anggota polis yang ditemui maut di bengkel senjata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, semalam.

Sebaliknya, Sarjan Mejar Abu Bakar Pander, 51, berdepan kemalangan letusan peluru daripada pistol ketika melakukan kerja penyelenggaraan senjata api berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat anggota polis itu mengesahkan arwah meninggal dunia disebabkan kesan kecederaan akibat tembakan menerusi jantungnya.

"Hasil bedah siasat dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, mendapati sebab kematian arwah adalah akibat 'Gun Shoot Wound Through The Heart'.

"Tiada sebarang kesan meragukan atau apa-apa kesan perbuatan jenayah oleh mana-mana pihak lain terhadapnya dalam kejadian ini dan kita mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut," katanya.

Jokhiri berkata, Abu Bakar yang berasal dari Negeri Sembilan bertugas sebagai Ketua Cawangan Persenjataan IPD Seri Alam dan sudah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia kira-kira 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 10:56 AM