KEADAAN mayat lelaki yang ditemui di Jalan Persiaran Bestari, Taman Bestari Indah. FOTO ihsan Polis
KEADAAN mayat lelaki yang ditemui di Jalan Persiaran Bestari, Taman Bestari Indah. FOTO ihsan Polis
Rudy Fazrunisyam Samarudin


LAPAN suspek ditahan susulan penemuan mayat lelaki dengan kesan tetakan di badan serta tangan dan kaki diikat di Jalan Persiaran Bestari, Taman Bestari Indah, Johor Bahru, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, mayat mangsa berusia 28 tahun ditemui orang awam yang melalui jalan berkenaan, 8 pagi kelmarin.

Katanya, siasatan yang dilakukan membawa kepada penahanan lapan individu dan semuanya kini dalam tempoh tahanan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan.

"Siasatan menyeluruh masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Jokhiri berkata, sehubungan itu pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar dapat tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat berkenaan ke balai polis berhampiran.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-3864222.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 2:27 PM