ALTIMET sasar 27 November tahun depan sebagai tarikh penamat kerjaya nyanyiannya. - FOTO Arkib NSTP
ALTIMET sasar 27 November tahun depan sebagai tarikh penamat kerjaya nyanyiannya. - FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur : Penyanyi Altimet nekad berhenti daripada bidang nyanyian bermula tahun depan kerana mahu menyertai bidang perniagaan yang dirasakan lebih mencabar.

Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 39, berkata, keputusan itu dibuat kerana merasakan apa yang diinginkan dalam bidang seni sudah dicapai.

"Alhamdulillah sepanjang pembabitan dalam bidang seni saya sudah mendapat apa yang diimpikan. Kebanyakan yang dirancang dan disasarkan berjaya dilaksanakan, cuma saya kini hanya mengimpikan untuk menerbitkan album berkonsepkan filem,” katanya.

Altimet yang popular dengan lagu Kalau Aku Kaya menetapkan tarikh 27 November tahun depan sebagai tarikh penamat kepada kerjaya nyanyiannya bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-40.

"Keputusan ini sudah lama dibuat iaitu sejak saya bergerak solo pada 2007. Sudah tiba masanya untuk saya mengundurkan diri. Kata orang lebih baik berhenti selagi masih disenangi daripada berlaku sebaliknya,” katanya.

Altimet berkata, tiada siapa perlu kecewa dengan keputusannya kerana dia bakal meninggalkan banyak lagu.

“Saya juga dalam perancangan untuk menerbitkan dua album lagu. Jadi, masa yang ada ini saya manfaatkan sebaiknya. Selepas tempoh itu kalau ada yang membuat permintaan untuk menghasilkan lagu saya okey lagi asalkan tidak membabitkan rakaman dan persembahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 4:13 PM