MURRAY sasar aksi final keenam Terbuka Australia.
MURRAY sasar aksi final keenam Terbuka Australia.
AFP

Melbourne: Berdasarkan keputusan undian Terbuka Australia, pemain nombor satu dunia Andy Murray berkemungkinan besar bakal dicabar Kei Nishikori dan Stan Wawrinka sebelum boleh bermain di final kejohanan itu buat kali keenam berturut-turut.

Bintang Scotland itu yang melakar kecemerlangan musim lalu menerusi gelaran Wimbledon dan emas Olimpik selain berjaya mempertahankan tangga teratas ranking dunia, tewas lima kali di final Terbuka Australia - empat daripadanya di tangan juara bertahan Novak Djokovic.

Murray akan berdepan pemain Ukraine Illya Marchenko di pusingan pertama dan mungkin bertemu pilihan kelima dari Jepun Nishikori atau legenda Swiss Roger Federer di suku akhir dan juara 2014 Wawrinka di separuh akhir.

Federer yang diletakkan sebagai pilihan ke-17, akan bertemu pemain kelayakan dan mungkin menentang pilihan ke-10 Tomas Berdych di pusingan ketiga dalam usahanya untuk mengumpul 17 gelaran Grand Slam.

Djokovic yang tersenarai di kelompok bawah undian lelaki apabila diangkat selaku pilihan kedua, perlu berhempas pulas di pusingan pertama apabila terpaksa mengatasi cabaran pemain Sepanyol Fernando Verdasco.

Verdasco yang menduduki ranking ke-40, mengalahkan Djokovic empat kali sepanjang 13 pertemuan dan bintang Serbia itu terpaksa menyelamatkan lima mata penamat ketika bertemu di separuh akhir kejohanan di Doha awal bulan ini.

Tahun lalu, Verdasco mengalahkan Rafael Nadal di pusingan pertama di Melbourne.

Djokovic yang memburu gelaran Terbuka Australia buat kali ketujuh, akan menentang Grigor Dimitrov di pusingan keempat dan pilihan kelapan Dominic Thiem di suku akhir.

Andai menang, dia akan menentang pilihan ketiga Milos Raonic di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:07 AM