POKOK segar dalam Nutripot.
POKOK segar dalam Nutripot.
PETIK strawberi di laman rumah.
PETIK strawberi di laman rumah.
NUTRIPOT dan hidroponik NFT di Hari Peladang Perak.
NUTRIPOT dan hidroponik NFT di Hari Peladang Perak.
TERSUSUN indah salad hidroponik NFT.
TERSUSUN indah salad hidroponik NFT.
PUAS melihat tanaman membesar.
PUAS melihat tanaman membesar.
BUNGA ros mekar mewangi dan menghiasi laman.
BUNGA ros mekar mewangi dan menghiasi laman.
BAJA dan set Nutripot.
BAJA dan set Nutripot.
Mohd Ashraf Shuib


Memetik sayur-sayuran yang ditanam dalam kebun sendiri di laman rumah untuk dimasak segar semestinya menjadi idaman setiap orang khususnya suri rumah.

Selain mendapat sayur-sayuran segar, aktiviti berkebun juga dapat menghilangkan tekanan selepas penat bekerja seharian.

Menyemai biji benih, melihat dan membelai pokok yang ditanam sendiri daripada pokoknya kecil hingga besar hingga sedia untuk dituai umpama terapi semula jadi.

Tapi kekangan masa untuk memberi tumpuan dari segi penyelenggaraan antara halangan bercucuk tanam bagi sesetengah orang.

Berbekal pengalaman sebagai seorang bekas pelukis pelan, Mohammed Jauhari Mohamed Jalil, 36, mencipta beberapa produk berkonsepkan hidroponik untuk kegunaan rumah dan teknik bercucuk tanam secara moden.

Idea mereka cipta produk berkonsepkan hidroponik bermula ketika beliau menanam pokok strawberi di rumah dan berjaya membuatkan pokok itu berbuah.

“Bagi membolehkan strawberi berbuah di tanah rendah, pokok itu memerlukan cahaya matahari secukupnya, tanah sentiasa lembap dan baja yang betul.

“Kemudian timbul angan-angan untuk mewujudkan mini Cameron Highlands di belakang rumah yang mempunyai pokok strawberi, ros dan salad itu,” katanya yang ditemui di Kampung Jelintah, Gopeng, Perak, baru-baru ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, Teluk Intan itu berkata hasil ‘uji kaji’ penanaman pokok strawberi, beliau mencipta pasu inovasi untuk tanaman hidroponik yang dinamakan Nutripot.

“Pasu ini mempunyai bahagian untuk menyimpan air baja dan bahagian untuk menanam pokok. Pengguna tidak perlu lagi menyiram atau membaja kerana pokok itu menyerap nutrien melalui span yang diletakkan pada bahagian simpanan air baja.

“Ada rakan media sosial yang berminat untuk membeli Nutripot dan pokok strawberi yang saya tanam di tanah rendah kerana pokok itu berjaya berbuah.

“Permintaan yang tinggi daripada rakan media sosial mendorong saya membina sebuah rumah pelindung hujan (RPH) sebagai tempat pembiakan anak pokok strawberi,” katanya yang pernah mengikuti kursus fertigasi di Pejabat Pertanian Lekir, Sitiawan, Perak.

Dalam masa yang sama, beliau mula belajar untuk menanam salad menggunakan kaedah hidroponik iaitu ‘nutrient film technique’ (NFT).

Katanya, selepas berjaya menanam salad, rakan media sosial kemudian berminat untuk membeli set NFT untuk menanam salad pula.

“Saya mula mencari idea untuk mencipta set hidroponik yang mudah untuk dileraikan dan dipasang semula bagi memudahkan pengeposan set kepada pembeli.

“Reka bentuk set juga diambil kira dalam pembinaan set hidroponik NFT ini supaya boleh dijadikan hiasan di halaman rumah,” katanya.

Mohammed Jauhari, set NFT ini mempunyai 10 hingga 50 lubang tanaman dan direka secara bertingkat dari dua hingga lima tingkat.

“Air baja kemudian dialirkan ke bekas air yang terletak di bahagian bawah paip takungan menggunakan sebuah pam.

“Sistem hidroponik NFT ini mengalirkan air baja secara berterusan dari bekas air, paip takungan dan kemudian masuk semula ke dalam bekas air.

“Medium pengganti tanah sebagai tempat akar berpaut juga dititikberatkan dalam sistem hidroponik NFT dan Nutripot ini. Sabut, ‘perlite’ dan ‘coral chip’ digunakan sebagai medium pengganti tanah,” katanya.

Selain dari Nutripot dan NFT, Mohammed Jauhari turut mencipta set NFT berbumbung, set NFT tegak dan sistem penyiraman automatik bagi setiap set.

Sistem NFT dan Nutripot ini turut dibekalkan untuk program Jabatan Pertanian beberapa buah negeri melalui Pertubuhan Peladang (PP) dan koperasi kerajaan.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan sistem NFT dan Nutripot, boleh layari laman Facebook Joe Jalil DIY Gardening dan ejen Joe Jalil Concept di Perlis, Sabah dan Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 2:05 PM