Junaidi Ladjana & Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Penjenayah parah ditembak di kawasan letak kereta di Taman Bukit Setia, Sepanggar, di sini, awal pagi ini.

Suspek berusia 35 tahun itu parah di bawah ketiak dan tulang rusuk kanan dan sudah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) namun dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra, berkata kejadian pada kira-kira 2 pagi.

Menurutnya, ketika itu tiga anggota daripada unit cegah jenayah Balai Polis Manggatal sedang menjalankan rondaan sebelum terserempak suspek yang berada di dalam kereta.

Katanya, suspek enggan memberikan kerjasama selepas polis memperkenalkan diri menyebabkan anggota memecahkan cermin kereta di sebelah pemandu.

"Suspek kemudian bertindak agresif dengan mengambil parang dan cuba melibas anggota.

“Atas tujuan keselamatan, seorang daripada anggota kemudian melepaskan dua das tembakan lalu terkena bawah ketiak dan tulang rusuk kanan suspek," katanya di tempat kejadian.

Beliau berkata, polis turut menahan lelaki berusia 20-an berhampiran kawasan kejadian yang dipercayai rakan suspek.

"Hasil siasatan awal, suspek yang ditembak itu terbabit dengan 13 kes jenayah samun, rompak, curi kenderaan dan pecah rumah termasuk yang terbaru di daerah Keningau.

“Suspek terbabit juga disyaki dalang kepada kumpulan jenayah dikenali Geng Saldi dan dikenalpasti aktif melakukan jenayah sejak Disember 2016.

“Foto suspek yang ditembak itu juga pernah viral di laman sosial dipercayai mencuri kasut di Taman Bukit Sepanggar," katanya.

Chandra berkata, selain tangkapan itu, polis turut merampas parang dan beberapa alat yang disyaki digunakan untuk aktiviti pecah rumah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 9:18 AM
CHANDRA menunjukkan gambar suspek yang pernah viral di laman sosial selepas disyaki mencuri kasut di Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
CHANDRA menunjukkan gambar suspek yang pernah viral di laman sosial selepas disyaki mencuri kasut di Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin