Polis tahan empat lelaki dan dua wanita yang berusia antara 17 hingga 26 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes mengurung mangsa secara salah.
Polis tahan empat lelaki dan dua wanita yang berusia antara 17 hingga 26 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes mengurung mangsa secara salah.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis berjaya menyelamatkan dua rakan yang diculik dan dikurung selama 16 jam di sebuah rumah di Skudai dekat sini, kelmarin.

Kedua-dua mangsa itu diculik di sebuah kawasan di Skudai kira-kira jam 2 pagi hari yang sama, sebelum dibawa ke sebuah rumah di kawasan itu dan dikurung.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, bertindak atas maklumat yang diterima daripada keluarga mangsa, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah JBS menyerbu rumah berkenaan.

"Hasil serbuan, kita berjaya menyelamatkan dua lelaki berusia 43 dan 49 tahun yang menjadi mangsa dikurung secara salah," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan empat lelaki dan dua wanita yang berusia antara 17 hingga 26 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes mengurung mangsa secara salah ini.

Katanya, hasil soal siasat terhadap enam suspek yang ditahan itu kemudian membawa kepada tangkapan tiga lagi suspek di kawasan sekitar disyaki terbabit dalam kes terbabit.

"Kita turut merampas sebuah Perodua Alza berwarna hitam milik mangsa, sebuah Perodua Myvi berwarna hijau, 12 telefon bimbit pelbagai jenis, satu kad ATM, wang tunai RM750 dan sebilah parang panjang.

"Hasil semakan mendapati tiga daripada sembilan suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah," katanya.

Sulaiman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 363 kanun sama kerana menculik dan Seksyen 384 KK kerana melakukan pemerasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 12:14 PM