LAMB Shank atau ketis kambing muda sememangnya cukup menyelerakan.
LAMB Shank atau ketis kambing muda sememangnya cukup menyelerakan.
NASI goreng kombo gabungan bahagian bahu kambing panggang, telur mata kerbau, keropok salad dan sambal sesuai untuk hidangan tengah hari.
NASI goreng kombo gabungan bahagian bahu kambing panggang, telur mata kerbau, keropok salad dan sambal sesuai untuk hidangan tengah hari.
AZZAHARUL bersama sajian Barat dan tempatan yang menjadi pilihan pelanggan.
AZZAHARUL bersama sajian Barat dan tempatan yang menjadi pilihan pelanggan.
Ainal Marhaton Abd Ghani

Mahu makan di hotel mewah tetapi dompet pula ‘kering;’ menyebabkan keinginan menikmati hidangan enak dan eksklusif air tangan tukang masak profesional terbantut.

Usah kecewa kerana anda boleh memenuhi keinginan itu di Restoran Azam Roasters Steak House (Azam Roasters) di Taman Mahkota Putra, Indera Mahkota 8, Kuantan yang menawarkan lebih 50 menu setaraf hotel tetapi bayarannya antara 12 hingga 18 peratus lebih murah.

Pelawaan rakan untuk mencuba sendiri makanan di situ diterima penulis kerana mahu menikmati keenakan sajian ala carte yang dikatakan ‘terbaik dari ladang’ dengan harga mampu bayar.

Saat hidangan tiba di meja, aroma lamb shank atau renihan ketis kambing muda sudah mengecurkan air liur, apatah lagi rasanya enak sebaik kepingan daging yang lembut itu mencecah ke mulut.

Sos pencicah lada hitam adunan bersama air rebusan tulang ayam dengan kepekatan seimbang memang tidak mengecewakan.

Pemilik Azam Roasters, Azzaharul Wahab, 37, berkata, tempoh tiga jam diambil untuk proses perapan, bakar dan renih bagi melembutkan bahagian isinya menggunakan bahan masakan serta rempah-ratus berbeza.

“Kemudian, ia dibiarkan sejuk sebelum dibekukan dan hanya dinyah beku selepas menerima pesanan. Tempoh antara lapan hingga 15 minit diperlukan untuk penyediaan sebelum sampai di meja pelanggan,” katanya.

Menurutnya, bahan untuk perapan menggunakan herba Barat seperti daun salam, rosemary, serbuk lada paprika, lada hitam, mustard (serbuk biji sawi) dan mire poix (gabungan lobak, daun saderi, bawang merah dan bawang putih yang siap dikisar).

“Perapkan ketis kambing bersama bahan yang sudah dihiris halus dan gaulkan bersama mire poix sebelum dibakar.

“Selepas itu, renihkan pula bersama air menggunakan api perlahan untuk melembutkan isinya,” katanya sambil menambah, hidangan itu RM36 sepinggan.

Untuk penyediaan kuah, Azzaharul menggunakan buah tomato dikisar bersama tomato puri, bahan asas untuk sos dan air rebusan kambing yang dimasak sehingga pekat.

Azam Roasters memperuntukkan antara 40 hingga 50 ketul ketis kambing muda setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan dan bertambah hampir sekali ganda pada hujung minggu.

Selain lamb shank, hidangan pilihan pelanggan lain ialah lamb chop, spageti oglio olio, grill chicken with cheese, spageti meatball bolognese dan lasagna yang dijual pada harga antara RM16 hingga RM32 sepinggan.

Menu lain ialah aneka pasta, piza, lempeng, sup, sandwic, salad dan snek yang ditawarkan pada harga antara RM3 hingga RM28 setiap hidangan.

Selain masakan Barat, Azam Roasters yang beroperasi sejak tiga tahun lalu itu juga menyajikan hidangan tempatan seperti set makan tengah hari nasi putih bersama pilihan lauk utama, pelbagai jenis masakan panas berasaskan nasi, mi, mihun dan kuetiau pada harga antara RM3 hingga RM48 sepinggan.

Pilihan minuman panas dan sejuk serta floats dan ice blended pula berharga antara RM3 hingga RM8 segelas.

Azzaharul yang lebih dikenali dengan gelaran Chef Azam turut menyediakan kambing panggang dengan dua perapan pilihan Barat dan tempatan.

“Setiap tempahan kambing panggang didatangkan bersama kentang bakar, coleslow, sos lada hitam dan sos barbeku sebagai pelengkap,” katanya yang mempunyai sebuah lagi restoran di Pusat Perkhidmatan Balok, Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 12:22 PM